Wow! Anak muda Malaysia ini bertanggungjawab pastikan kecergasan pemain Liverpool

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Tiba masa untuk kita melihat masa depan sukan negara pergi lebih jauh, bukan sahaja dari segi aspek jurulatih dan latihan kepada para atlet dan pemain, tetapi juga dari sudut khidmat kepakaran sains sukan yang mampu membantu melonjakkan lagi taraf kualiti sukan.

Dan sudah pasti ia menjadi sesuatu yang istimewa buat peminat kelab Liverpool kerana kepakaran itu dimiliki oleh seorang anak muda berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Firdaus Masaar.

Lelaki berusia 31 tahun itu kini semakin rapat dan secara peribadi bersama dengan kelab gergasi itu sejak 2015 sebagai ahli fisiologi yang bertanggungjawab mengendalikan latihan kecergasan.

Firdaus yang sebelum ini merupakan seorang jurulatih kecergasan untuk Sime Darby U21, kini sedang melanjutkan pelajaran di Liverpool John Moores University (LJMU) di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan dan Fisiologi.

Pada tahun lepas, Firdaus menerusi status di laman Facebooknya menjelaskan bahawa beliau berkhidmat di kelab Inggeris dan Liverpool di bawah program ‘Exchange Football’.

Sebelum ini juga media tempatan melaporkan bahawa Firdaus menjadi perhatian dan bualan dalam kalangan peminat Liverpool di Malaysia selepas wajahnya dimuatnaik pada laman web rasmi kelab itu.

Dan terbaharu, peminat bola sepak tanah air pasti akan lebih gembira untuk mengetahui bahawa Firdaus juga memainkan peranan penting disebalik kejayaan kelab bola sepak Huddersfield Town FC melayakkan diri ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Ini kerana, beliau terlibat dalam mengetuai pengurusan profil kecergasan pemain kelab itu musim lalu.

Memetik Utusan Online, tugas utama yang dilaksanakan Firdaus termasuklah melakukan penilaian terhadap tindak balas laktat dan pengambilan oksigen secara maksimum dalam kalangan pemain kelab berkenaan, selain beliau turut mendapat pengiktirafan daripada Ketua Perkhidmatan Prestasi kelab itu, Dr. John Iga.

“Alhamdulillah, saya dapat membantu kelab itu layak ke EPL pada musim akan datang,” katanya, sambil menambah berasa gembira kerana terlibat sama membantu melonjakkan kelab itu selepas hampir 45 tahun tersingkir ke liga bawahan.

Tambah ayah kepada tiga cahaya mata itu lagi, beliau turut secara langsung bekerjasama dengan petugas kelab dalam menyusun jadual, melatih pelajar sains sukan dalam pengambilan data, melakukan ujian fisiologi serta menyediakan analisis data pemain secara terperinci untuk kegunaan kelab berkenaan, memetik Utusan Online.

Namun katanya, bagi musim baharu, semuanya masih lagi di tahap perancangan dan sekiranya kelab itu masih memerlukan khidmatnya, beliau bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Dalam pada itu, sebagai kakitangan yang menyalurkan kepakaran kepada kelab bimbingan Jurgen Klopp, Firdaus juga sedang sibuk membuat persediaan untuk latihan pramusim kelab itu yang bermula semalam di Melwood.

“Saya akan menjalankan penilaian kecergasan pemain akademi dan skuad utama apabila mereka melaporkan diri nanti. Saya juga akan menyediakan analisis kecergasan mereka untuk digunakan jurulatih bagi merancang sesi latihan,” katanya berkongsi penglibatan bersama kelab Liverpool.

Gambar-gambar yang dikongsi di laman sosial Instagram memaparkan Jordan Henderson, Adam Lallana dan Roberto Firmino, yang antara lain terlibat dalam latihan pramusim, selain pemain baharu Dominic Solanke yang turut terlibat dalam sesi pertama latihan – berada di bawah penjagaan Firdaus.

This is Anfield mendedahkan jadual biasa ketika latihan termasuklah sarapan pagi bersama, sebelum ke pusat gimnasium prestasi bagi menguji keupayaan pergerakan dan regangan, yang mana kedua-dua ini direkod dan diukur menggunakan analisis data Klopp.

Kemudian ia akan disusuli dengan sesi luar di atas trek 400 meter (m) bagi ujian laktat, bertujuan mengguji tahap ketahanan, berlari pada kadar tertentu yang kadarnya akan bertambah dari 8 kilometer (km) sejam kepada 20km sejam.

Selepas waktu makan tengahari pula, skuad akan diuji kekuatan dan ketinggian lompatan mereka, untuk menentukan kekuatan otot.

Menjelang saingan EPL dan Liga Juara-juara Ogos ini, Liverpool bersedia untuk bersaing dalam lapan perlawanan persahabatan, dengan perjalanan ke Hong Kong, Jerman dan Ireland.

 

Sumber :
– malaysiandigest.com

confess-ads

Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment