(Video) Sapu 8A UPSR di sekolah Cina

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

MEMINATI Bahasa Cina ketika di tadika nampaknya tepat buat Muhammad Zaki Mahdi Chamam apabila meraih 8A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Paling ‘win’ apabila Zaki anak Melayu pertama meraih semua A di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Jalan Damai, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Selain subjek teras yang diajar di kebanyakan sekolah, Zaki turut meraih A bagi Bahasa Cina (Penulisan) dan A bagi Bahasa Cina (Pemahaman).

Biarpun dibesarkan tanpa sebarang panduan ibu bapanya yang tidak tahu bertutur Mandarin, Zaki tetap ingin menguasai bahasa itu yang dianggapnya cabaran luar biasa.

Zaki berkata, meskipun berbahasa Melayu dan Inggeris di rumah, ia tidak menghalang dia dan kembarnya, Muhammad Aqil Mahdi, 12, untuk menguasai Mandarin.

“Cabaran paling besar buat kami menghadapi peperiksaan UPSR adalah apabila ibu bapa tidak dapat untuk membantu kami. Kami kena belajar sendiri.

“Tetapi atas usaha bersungguh-sungguh dan menghadiri kelas tambahan, kami mampu menguasainya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Ampang.

Katanya, dia sering mengulangkaji Bahasa Cina bersama abang kembar dan rakannya serta lebih cenderong bertindak sebagai ‘tutor’.

“Saya suka mengajar kerana itu lebih banyak membantu saya untuk mengingati apa yang dipelajari.

“Selain itu, ibu bapa mendidik saya supaya jangan sombong dan kongsi ilmu yang kita ada.

“Ibu adalah idola saya. Saya mahu menjadi seperti dia untuk belajar di luar negara.

“Saya harap suatu hari nanti kerajaan boleh bantu saya untuk menyambung pengajian di luar dan mengharumkan nama negara,” katanya.

Ibunya, Nurhidayu Kamaludin, 38, berkata, dia dan suami, Chamam Zulkarnen, 41, tidak pernah memaksa kedua-dua anak mereka mempelajari Bahasa Cina.

“Malah, kami beberapa kali bertanya sama ada mereka mahu bertukar sekolah atau tidak.

“Ketika mereka di tahun satu dan dua, banyak kali saya tanya sama ada mereka mahu berpindah ke sekolah biasa.

“Namun, kedua-duanya mahu terus belajar di sekolah Cina walaupun pelbagai cabaran dihadapi.

“Biarpun kadangkala ‘terpinggir’ di sekolah dan pernah dibuli pada awal kemasukan, mereka kuat untuk buktikan mereka boleh berjaya.

“Alhamdulillah, keputusan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) membuktikan kedua-duanya cemerlang,” katanya.

Menurutnya, kejayaan Zaki sekaligus menjadi inspirasi kepada murid Melayu lain di SJKC dan membuktikan murid yang aktif dengan kokurikulum juga boleh meraih keputusan terbaik.

Difahamkan, lima daripada 185 murid tahun enam di SJKC Chung Hwa memperoleh 8A dan dianggarkan 15 peratus daripada keseluruhan murid adalah Melayu.

Tonton Video Disini


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment