(Video) ‘Proses pembelajaran, bukan dera’ konon

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

KANAK-KANAK berusia lapan tahun dikenakan hukuman tidak masuk akal oleh dua petugas pusat jagaan kanak-kanak di Lorong Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad, dekat Kuantan, malam tadi.

Dua petugas itu dikatakan mencucuh api pada kemaluan dan mengugut untuk menggunting kemaluan mangsa, selain memukul badan serta kepala mangsa menggunakan rotan.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 7 malam dan disedari bapa mangsa berusia 25 tahun selepas rakaman video kejadian itu tersebar di media sosial.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit dipukul tanpa belas kasihan kerana melakukan kesalahan kencing berdiri, mencuri barang dan tidak mencuci selepas buang air besar.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dua petugas pusat jagaan itu sudah menghubungi bapa mangsa selepas menyedari video berkenaan sudah viral dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

“Mereka sudah hubungi bapa kanak-kanak itu dan memaklumkan tindakan merotan mangsa dibuat sebagai proses pembelajaran, bukan untuk mendera.

“Siasatan awal kami mendapati, mangsa adalah anak tunggal dan sebelum ini bersekolah di sekolah kebangsaan, bagaimanapun dihantar ke sini oleh bapanya selepas didapati tidak begitu berminat untuk belajar.

“Kami merampas rotan berukuran 58 sentimeter dan satu gunting rambut yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, beliau juga sudah meninjau pusat jagaan itu dan tidak menolak kemungkinan terdapat unsur penderaan cuba dilakukan terhadap mangsa.

Katanya, dua petugas pusat berkenaan yang berusia 42 dan 43 tahun ditahan jam 10 malam tadi bagi membantu siasatan.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan kerana mengalami kecederaan pada bahagian punggung.

“Dua petugas pusat jagaan itu direman selama dua minggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

 

Sumber :
– https://www.hmetro.com.my/utama/2018/09/373641/proses-pembelajaran-bukan-dera-konon


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment