(Video) Air mata Hafeezul menyentuh hati

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

“KETIKA saya membayar komik itu di kedai, penjual itu ceritakan kepada saya, hampir setiap hari anak saya datang meminta izin untuk melihat kulit hadapan dan belakang komik itu.

 “Hampir menitis air mata saya mendengarnya, macam itu sekali dia teringin untuk memiliki komik kegemarannya,” kata Suffiyah Ramadhani, 36, ibu kepada Muhammad Hafeezul Mohd Zulkiflee, 11, yang menangis selepas ibunya membelikan komik Lawak Kampus untuknya.

Video menyentuh hati berdurasi seminit 24 saat itu memaparkan Hafeezul terharu selepas diberi kejutan oleh Suffiyah lalu menjadi tular di laman sosial sejak dimuat naik pada Selasa sehingga mencecah sejuta tontonan hanya dalam masa sehari.

Suffiyah yang mesra dengan panggilan Cik Sue berkata, dia dan suami sudah lama mengetahui anak tunggal mereka itu menggemari komik berkenaan namun tidak pernah membeli komik itu kerana tidak mahu kanak-kanak itu leka dalam pelajaran.

“Hafeezul sudah meminta untuk membelikan komik Lawak Kampus itu sejak beberapa tahun lalu lagi tetapi kami mahu mendidiknya erti kesabaran dan bukan mudah untuk mendapatkan sesuatu.

“Jadi kelmarin kebetulan saya membeli sarapan berdekatan kediaman kami dan ternampak komik itu yang hanya tinggal sedikit saja lagi.

“Ketika itu saya terdetik, apa salahnya kalau saya membelikannya sebagai hadiah sempena pencapaian baik dalam pelajaran. Inilah masanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia hampir menangis apabila dimaklumkan oleh penjual bahawa Hafeezul selalu datang ke kedai itu hanya mahu memegang dan melihat komik itu.

“Selepas mendapat tahu perkara itu, saya nekad untuk membuat kejutan apabila mahu mengambil Hafeezul ketika pulang dari sekolah.

“Kejutan itu hanya spontan dan saya mahu berkongsi kegembiraan anak saya dengan rakan di Facebook, tidak sangka ia tular sehingga di tahap ini,” kata pensyarah Kolej Matrikulasi Pulau Pinang itu.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada netizen yang memberi komen positif dan turut berkongsi kisah menyentuh hati serta nostalgia membabitkan pengorbanan seorang ibu.

Katanya yang berasal daripada Melaka itu, dia bersyukur apabila terdapat pengguna Facebook yang tersedar dan berniat untuk memberi kejutan kepada anak mereka selepas menonton video terbabit.

Bercerita mengenai Hafeezul, Cik Sue berkata, kanak-kanak itu dididik sejak dari kecil supaya berdikari dan bersabar untuk mendapat sesuatu.

“Kami tidak memberinya sebarang gajet namun kami tetap memberinya had masa untuk bermain permainan video pada telefon kami atau membaca komik yang dipinjam daripada rakannya.

“Suami juga berpesan, Hafeezul perlu mengutamakan pelajaran dan didikan agama meskipun sudah memiliki komik,” katanya yang juga isteri kepada seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Menurut Cik Sue, Hafeezul anak yang baik serta mendengar kata dan kini kanak-kanak itu berjinak-jinak menjadi muazin di surau kediaman mereka di Kepala Batas.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
   

Related Posts

Add Comment