Ustazah tipu pakej umrah sehingga orang kampung rugi RM71,000

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

SEPULUH individu dari Kedah dakwa ditipu wanita bergelar ‘ustazah’ yang menawarkan pakej umrah membabitkan kerugian RM71,000.

Mangsa berusia 54 tahun yang enggan dikenali dan berasal dari Guar Chempedak, Yan, berkata, dia dan isterinya, 53, sepatutnya berangkat menunaikan umrah hari ini selepas dua kali ditunda sebelum ini tetapi kecewa apabila individu yang bertanggungjawab menguruskan pakej itu memberi alasan tiket penerbangan tiada petang semalam sedangkan segala barangan sudah siap sejak awal bulan ini.

Malah dia dan isteri turut mengadakan kenduri doa selamat dengan menjemput kira-kira 300 jemputan termasuk penduduk kampung dan ahli keluarga tetapi sampai sekarang tidak dapat pergi menunaikan umrah seperti yang diimpikan selain menanggung malu.

Katanya, pada mulanya dia tidak kisah apabila penerbangan pertama pada 6 Disember lalu ditunda dengan alasan sama kerana tiket penerbangan tiada dan dijanjikan penerbangan seterusnya pada 9 Disember lalu.

“Saya menggunakan wang simpanan hasil mengusahakan sawah sebanyak RM14,200 dan tak sabar untuk membawa isteri ke Makkah tetapi kecewa apabila apa yang diharapkan tidak kesampaian malah sudah menukar wang tunai RM2,000 kepada mata wang Riyal (Arab Saudi).

“Saya malu setiap kali jumpa orang kampung, mereka akan tanya kenapa saya masih ada di rumah kerana sepatutnya sudah berlepas ke Tanah Suci dan setiap kali itu juga saya memberikan pelbagai alasan untuk menyedapkan hati tetapi kecewa dengan apa yang dilalui,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) di Simpang Kuala, Alor Setar, hari ini.

Mangsa lain, wanita warga emas berusia 71 tahun yang menetap di bandar raya ini berkata, dia terkilan kerana ‘ustazah’ yang dipercayainya dan dikenali di masjid di Tandop dekat sini berjaya mempengaruhinya supaya menyertai pakej umrah sehingga dia berminat lalu mengajak birasnya untuk pergi bersamanya.

Katanya, walaupun tidak yakin wang sebanyak RM7,100 seorang itu akan diperoleh semula, namun dia sedih kerana birasnya yang berusia 60-an sanggup menggunakan semua wang simpanan mengasuh kanak-kanak untuk membayar wang bagi membolehkan dia menunaikan umrah.

“Biras saya orang susah dan menetap di Perlis. Apabila saya mengajaknya untuk menunaikan umrah ke Tanah Suci, dia tidak menolak malah sanggup tinggal bersama saya di sini sehingga seminggu untuk mendalami ilmu agama sebagai bekalan untuk ke sana.

“Apabila perkara ini berlaku, dia agak kecewa dan pulang semula ke Perlis dengan berat hati.

“Lagi pula dia sudah melakukan kenduri doa selamat sebelum ini di rumahnya sebagai persiapan sebelum berangkat ke Tanah Suci,” katanya.

Anak lelakinya, 40, berkata, dia kecewa kerana mereka adik beradik sudah beberapa kali mengambil cuti untuk menemani ibu mereka berangkat menunaikan umrah dan asyik ditunda waktu penerbangan sehinggalah ke semalam.

Katanya, dia kemudian menemani ibunya untuk bertemu dengan ‘ustazah’ berkenaan di hotel di bandar raya ini tetapi hampa apabila dimaklumkan wanita berkenaan yang agensi mereka mengalami masalah dalaman sehingga menyebabkan penerbangan terpaksa ditunda.

“Mereka hanya memaklumkan mengenai perkara itu petang semalam dan itupun ibu saya yang menghubungi mereka sedangkan ibu sudah melakukan pelbagai persiapan untuk berangkat ke Makkah,” katanya.

Berikutan itu, dia bersama ahli keluarganya membuat laporan di pejabat CAKE, di sini, untuk membantu menyelesaikan masalah itu dan mendapatkan semula wang ibu dan ibu saudaranya.

Sementara itu, Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan mendapati ‘ustazah’ ini menjalankan pakej umrah dan sudah cuba menghubunginya beberapa kali untuk mendapatkan penjelasan tetapi gagal.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi syarikat swasta yang menguruskan pakej umrah seperti yang dinyatakan ‘ustazah’ berkenaan dan dimaklumkan syarikat itu hanya menguruskan visa saja manakala tiket dan pakej lain diuruskan individu terbabit.

“Hasil siasatan kita juga mendapati, resit yang dikeluarkan individu berkenaan juga tidak mempunyai nama syarikat dan resit itu boleh dibeli di kedai runcit dan ini adalah salah satu taktik penipuan,” katanya.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment