Transgender mahu JPN benarkan tukar status MyKad

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

KUALA LUMPUR: Seorang insan transgender yang lahir dengan tubuh wanita tetapi bersifat lelaki menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membenarkan beliau dan orang sepertinya menukar status jantina dalam MyKad supaya mereka boleh memohon pekerjaan dan menjalani hidup secara bermaruah.

Pengasas kumpulan Transmen of Malaysia, Dorian Wilde, berkata pihak berkuasa harus mengizinkan status golongan transgender diubah supaya mereka boleh dikenalpastii dalam konteks yang betul.

“JPN bertanggungjawab untuk menyatakan identiti seseorang dan mentakrifkan seseorang itu mengikut diri mereka,” katanya.

Beliau berkata tidak mudah untuk mendapatkan pekerjaan apabila kad pengenalan menyatakan jantina seseorang sebagai perempuan tetapi penampilannya, termasuk aspek pakaian dan hias diri, menunjukkan sebaliknya.

“Tidak membenarkan kami mengubah status jantina dalam kad pengenalan menjadi penghalang buat kami. Majikan tidak mahu tawarkan pekerjaan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak sepatutnya mengenalpasti seseorang berdasarkan aspek fizikal semasa lahir semata-mata.

“Saya dilahirkan dengan alat kelamin perempuan, tetapi dari muda lagi saya tahu saya lelaki,” katanya.

“Bukan kerana saya keliru atau fikiran saya dibasuh. Saya tahu saya lelaki. Saya memang begini dari dahulu,” katanya ketika ditemui selepas wacana mengenai keganasan gender anjuran Justice for Sisters hari ini.

Wilde, yang mempunyai rancangan untuk menjadi seorang ahli psikologi, berkata rakyat Malaysia perlu meluaskan kefahaman melangkaui binar jantina lelaki dan perempuan.

“Seorang transgender dimasukkan ke dalam penjara lelaki atau wanita?” katanya, menonjolkan kesusahan yang perlu mereka alami apabila ke tandas awam atau dimasukkan ke hospital.

Wilde berkata sesetengah insan transgender memiliki janggut kerana menjalani terapi hormon tetapi dianggap wanita kerana status MyKad mereka.

Beliau menggesa pihak berkuasa mencontohi amalan terbaik serata dunia, seperti Eropah, di mana insan transgender dibenarkan mengubah status mereka.

 

Sumber :
– www.freemalaysiatoday.com


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment