Terbang terlajak laju!

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Kepala Batas: Aksi Superman ‘terbang’ atas basikal yang menjadi kegilaan geng basikal lajak ada ketikanya mengundang bahaya kepada pengguna lain. Geng itu biasanya berkumpul di atas jejantas sebelum beraksi seperti Superman ketika turun dan meluncur ke bawah dan mereka mempamerkan pelbagai aksi ketika turun dari jejantas kerana tidak perlu mengayuh basikal ketika itu.

Selain itu, kebanyakan basikal turut diubah suai terutama pada bahagian pemegang dan tempat duduk belakang bagi memudahkan mereka beraksi seperti Superman.
Tinjauan mendapati geng basikal lajak biasanya mempamerkan aksi mereka di jejantas Permatang Buloh, Permatang Bendahari/Kuala Muda, di sini, selain Teluk Air Tawar, Butterworth.

Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Seberang Perai Utara (SPU) Mohd Sabri Samad berkata, basikal lajak yang sebelum ini popular di selatan tanah air kini merebak ke utara.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kebanyakan ahli geng basikal lajak ialah kanak-kanak dan remaja masih bersekolah berusia 10 dan 13 tahun.

“Mereka biasanya beraksi secara berkumpulan ketika turun dari jejantas dan tindakan itu mengundang bahaya pada diri sendiri dan pengguna lain,” katanya.

Bagi menangani isu geng basikal lajak, Mohd Sabri berkata, pihaknya akan mengadakan kempen kesedaran dengan kerjasama Kelab Basikal SPU sempena cuti sekolah bermula minggu depan.

Beliau berkata, melalui kempen itu, penunggang basikal dididik supaya menunggang secara berhemah agar tidak membahayakan pengguna lain.

“Selain kempen, kami turut mengadakan program jelajah amal iaitu membawa geng basikal membuat kebajikan seperti membersihkan masjid atau kawasan tertentu.

“Cara itu lebih baik untuk mereka menghabiskan masa dan mempelajari sesuatu berbanding menunggang basikal tidak tentu arah,” katanya.

Sumber :
– https://www.hmetro.com.my


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment