Tanah Felda jutaan ringgit hilang pada 2015, sedangkan Tan Sri Shahrir baru dilantik 2017

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Waktu aku dipanggil untuk bersama dengan tokoh ini, aku duk tanya-tanya kenapalah waktu kejam sebegini untuk bersama. Iyalah, kalaulah dapat masa yang sedap, lega dan nyaman, alangkah bagusnya.

Ini yang ada adalah waktu tegang semasa semua orang marah-marah kerana tanah beratus juta ringgit telah hilang.

Namun, banyak aku belajar pada 2-3 jam dalam perjumpaan tersebut.

Suasananya tidak tegang. Tan Sri Shahrir Abdul Samad selaku Pengerusi Felda duduk tenang sahaja di kerusinya. Manakala kami sekitar 6-7 orang duduk mengadapnya. Biliknya tersusun.

Seperti CEO-CEO lain, ada kekemasan dan keserabutan yang sama sahaja. di belakang Tan Sri ada sebaris buku, kelihatan Tan Sri juga membaca naskhah dari DuBook. Aku duk senyum dalam hati.

Terus sahaja kami diperkenalkan dan Tan Sri terus cakap, “ha apa cerita? Semua ok?” Kami gelak sahaja.

Ali Imran selaku wartawan awam dari Bernama bertanya soalan pertama, “Kenapa lambat sangat report polis, Tan Sri?”

Tan Sri ambil nafas. 2-3 saat selepas itu barulah beliau jawab dengan tersusun.

Katanya pada januari 2017 sewaktu beliau memasuki ruang Felda sebagai Pengerusi, beliau tidak menyangka yang keadaan Felda sangat teruk (pandangan masyarakat). Ianya sehingga ke tahap orang marah, malu dan geram terhadap badan yang telah menjadi ibu kepada para peneroka berpuluh tahun ini.

Kisah tanah yang hilang tersebut, juga diketahui olehnya pada bulan yang sama dan beliau terus berjumpa Peguam Negara dan Perdana Menteri. Namun prosesnya itu bukannya macam beli baju raya. Jumpa, lawa, bayar, sampai raya, pakai. Tak.

Ianya perlu melalui beberapa prosedur yang sangat ketat. Tanah Felda hilang. Dan jumlah yang hilang itu bukan sikit-sikit wangnya. Beratus jutaan ringgit.

Tan Sri sendiri membawa perkara ini untuk dibuat Private Kaveat. Yang mana dokumen dan prosesnya itu juga mengambil masa. Sehinggalah pada bulan ke-4, akhirnya ianya diluluskan.

Dan bersusun lagi proses rumit untuk mengambil langkah undang-undang serta mendapatkan nasihat pemimpin negara, barulah pada 12hb Disember baru-baru ini ianya dibuat laporan polis.

Bab kenapa hilang, bagaimana boleh hilang, dan macam mana boleh hilang. Itu kalian kena tanya orang yang jaga sebelum ini. Hilangnya tanah tersebut ialah pada 2015 dan 2016. Bukannya semasa Tan Sri Shahrir memegang tampuk pemerintahan Felda (Januari 2017).

Ramai duk cakap Felda Felda Felda. Siap duk main perli kata Failda. Ya Tuhan. Mengapa kalian tidak persoalkan siapa yang curi dan siapa yang hilangkan tanah tersebut?

Mengapa yang kena curi, dah jadi mangsa kena tipu kena bantai cukup-cukup?

Dalam mana-mana kes pun, pasti ada mangsa dan pemangsa. Di dalam kes ini, nyata Felda telah mengambil proses undang-undang dan ternyata ada penipuan di dalam hal-hal tanah tersebut. Oleh itu juga kita sebagai netizen hari ini kena faham yang Felda telah kena tipu.

Dan kita pula, duk bantai “macam mana organisasi besar begini boleh kena tipu?” Iya boleh. Sesiapa pun boleh.

Dengan kata lain, “ada lagi yang lebih besar, dan pada waktu tersebut, ramai yang tidak perasan, tidak tahu dan tidak dimaklumkan termasuk kepada Perdana Menteri kita sendiri”.

Aku melihat Tan Sri Shahrir berusaha keras mendapatkan semula tanah tersebut, turun naik berjumpa peguam negara, turun naik juga bertemu Unit Kawal Selia, Jabatan Perdana Menteri, Perdana Menteri sendiri, dan kau bayanglah juga bagaimana kehidupannya berubah secara total apabila dihujani soalan-soalan tentang kehilangan tanah ini secara public.

Dan beliau sendiri kata, dengan umur sekarang, betapa sakitnya hati melihat suasana ini berlaku di kalangan kita semua. Sepatutnya kes-kes begini tidak wujud kerana kredibiliti Felda adalah cerminan juga kepada mereka yang rapat disekelilingnya.

Sepanjang hampir setahun Tan Sri memegang kerusi Pengerusi, katanya ramai peneroka sudah pun mengambil langkah positif untuk kembali dan duduk bersama-sama mengurus tanah rancangan.

Dikatakan juga, beliau berusaha keras turun ke lapangan berjumpa dengan para peneroka, anak-anak peneroka serta semua jentera Felda di wilayah-wilayah rancangan setahun ini.

Menariknya, berlaku pertumbuhan yang sangat bagus di kalangan peneroka setiap kali perjumpaan dibuat. Jika dahulunya, kerusi yang disediakan untuk para peneroka hadir mendengar beliau berucap untuk memaklumkan hal-hal Felda di wilayah sekitar 600-900, hari ini sentiasa tidak cukup sehingga ke tahap 1,300-1,500 orang untuk setiap 1 sesi.

Pertumbuhan baik ini menampakkan yang kepercayaan para peneroka terhadap kepimpinan Tan Sri di Felda semakin bagus dan memberi impak yang baik juga kepada Felda sendiri.

Oleh itu, sebarang skandal, kes-kes besar seperti penipuan tanah sebegini eloklah kita bersama dengan beliau untuk membantu menjernihkan keadaan yang mana telah berlaku penipuan menukar hak milik tanah tersebut dan kita wajar melihat kes ini dari kaca mata undang-undang.

Bantai, maki hamun serta berkata kasar tanpa hujah, tidak memberi apa-apa hasil kepada masyarakat.

Aku suka apa yang Tan Sri sebutkan kepada kami,

“Felda adalah hak milik peneroka dan negara kita. Kita semua bertugas untuk melindunginya sebaik-baik jagaan. Sekiranya berlaku perkara yang tak elok, maka kita serahkan kepada mahkamah untuk diselesaikan dan perbaikinya semula.

Kembalikan ia kepada asal, balikkan dia kepada asal, seperti mana ia dibuat dulu, hari ini sudah kaya bagaimana pun, ia tetap ada asas yang bagus dan baik untuk peneroka meneruskan kehidupannya bergenerasi pun. Maka, sebagai Malaysia, kita sama-sama jaga dia baik-baik dan perjuangankannya sebaiknya.”

Begitulah.

Aku berharap selesailah cepat hal ini dan semoga Tan Sri Shahrir kekal bersama Felda untuk penggal akan datang. Untuk jumpa orang sepertinya yang telus, jujur, dan komited dengan kerja yang dibuat sepenuh hati pada zaman ini, ya Tuhan susahnya. Dan ini antara contoh yang hidup yang masih ada di hadapan mata.

Maka, doakanlah beliau supaya terus sihat, kuat, tabah dan cekal memegang tampuk tertinggi Felda.

Khairul Hakimin Muhammad,
Felda, #BalikAsal

***

Untuk baca dari kaca mata undang-undang tentang kes ini, klik ini:

https://www.facebook.com/shamsul.qamarii/posts/829233343931281


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment