“Sila siasat kaitan 1MDB dan MH370” – Pensyarah Sains Politik UKM

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

SIASAT KAITAN 1MDB DAN MH370

1. Seolah-olah tiada penghujungnya, pendedahan demi pendedahan berkaitan syarikat 1MDB mulai dibongkar. Ancaman bunuh, ugut, dan rasuah Datuk Shukri Abdull, siasatan SPRM dan audit 1MDB yang menyamai pertuduhan Peguam Negara Amerika (DoJ) – kesemuanya ini mengakibatkan hampir segala aspek pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak mulai dipersoalkan secara meluas.

2. Antara persoalan yang paling hangat ialah hubungkait antara 1MDB dan tragedi kehilangan pesawat MH370 pada 2014: Benarkah Datuk Seri Najib Razak menerima tekanan kuasa besar tertentu yang mengetahui tiga fasa transaksi 1MDB ke akaun peribadi beliau (Februari 2011- Mac 2013) hingga mengakibatkan beliau berkompromi dengan rampasan MH370 oleh kuasa besar berkenaan pada Mac 2014?

3. Seluruh dunia menyaksikan dua reaksi yang jauh berbeza sama sekali oleh dua pemimpin Malaysia selepas kehilangan pesawat MH370 pada 2014: satu ialah reaksi bersahaja Datuk Seri Najib dan satu lagi ialah reaksi agresif Tun Dr. Mahathir.

4. Berikut ialah Reaksi bersahaja Najib Razak: Beliau mengumumkan bahawa pesawat Boeing 777 MH370 ‘Berakhir di Lautan Hindi’ pada 24 Mac 2014 tanpa sebarang bukti fizikal/serpihan. Najib mendakwa pengumuman beliau sebagai hasil daripada rujukan data Operator satelit British Inmarsat. Walau bagaimanapun, sebaliknya Inmarsat melalui Jurucakap mereka Jonathan Sinnatt menegaskan bahawa mereka hanya membekalkan data satelit kepada kerajaan Malaysia. Maka pengumuman oleh Najib Razak adalah hasil membuat kesimpulan beliau dan kerajaan Malaysia sendiri.

5. Tentulah kita mengetahui bagaimana marahnya ahli keluarga dan ahli politik China dengan pengumuman Najib Razak ketika itu kerana ia dibuat dengan bersahaja tanpa sebarang bukti fizikal.

6. Bandingkan pula dengan siri kenyataan keras Tun Dr. Mahathir yang kini kembali menjadi Perdana Menteri: ‘Agensi Perisikan CIA (Amerika) sedang menyembunyikan sesuatu’, ‘Mustahil kapal terbang sebesar 230 tan hilang begitu sahaja’, ‘Syarikat Boeing perlu dipertanggungjawabkan, bukannya MAS’, ‘Boeing memiliki teknologi ‘kawalan jauh ke atas pesawat’ sejak 2006’, ‘Peralatan kamera canggih yang terpasang pada satelit-risikan (di angkasa) yang dikendali oleh beberapa buah kuasa besar dunia sebenarnya mampu mengambil gambar manusia (di atas muka bumi) dan sekaligus mengenalpasti identiti manusia terbabit. Sudah semestinya kamera seperti ini lebih daripada mampu untuk mengesan objek sebesar 63 meter (pesawat Boeing)’, ‘Bolehkah kita percaya pesawat ini (MH370) jatuh dengan begitu tenang sekali di dalam lautan ganas (Laut Hindi) dan tenggelam dengan begitu mudah ke dalam lautan? (tanpa meninggalkan sebarang petunjuk)?’

7. Namun perkara yang menghairankan ialah reaksi kecaman oleh Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai terhadap Tun Mahathir pada Mac 2018 (ketika belum kembali menjadi Perdana Menteri).

8. Alasan sama yang digunakan oleh kedua-dua Datuk Liow Tiong Lai dan Datuk Azharuddin dalam mengecam Tun Mahathir ketika itu ialah kenyataan beliau ‘mengguris perasaan ahli keluarga mangsa’ dan ‘tiada bukti’. Sebaliknya pengumuman Najib Razak sebagai Perdana Menteri pada 24 Mac 2014 yang mengatakan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi juga sama – ‘mengguris perasaan ahli keluarga mangsa’ dan ‘tiada bukti’. Bahkan pengumuman Najib serius ke tahap berpotensi menjejaskan hubungan Malaysia-China.

9. Tindakan kerajaan Najib Razak sebelum ini yang sama sekali tidak mengendahkan siri persoalan yang diajukan oleh Tun Mahathir khusus tentang MH370 ini turut menimbulkan persoalan: kenapa tiada sama sekali usaha agresif dan kritis diambil kerajaan Najib terhadap Amerika, Agensi Perisikan Pusat (CIA), dan Boeing?

10. Kerajaan Najib Razak bukan sahaja dilihat hanya menerima secara bulat-bulat segala maklumat yang diberikan oleh Amerika – bahkan beliau mengambil masa yang lama dan agak tidak telus dalam mendedahkan data dari radar ketenteraan Malaysia. Malah beliau telah dikritik keras oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu yang menegaskan bahawa Radar Marconi yang dibeli sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu sepatutnya mampu mengesan MH370 sekiranya ia berpatah balik dari Laut China Selatan ke Selat Melaka.

11. Mengapa tuduhan kaitan 1MDB dan tragedi kehilangan MH370 perlu disiasat oleh kerajaan Pakatan pimpinan Tun Mahathir hari ini? Selain daripada memenuhi tanggungjawab moral Tun Mahathir yang mengeluarkan kenyataan kritis tentang MH370 dan Amerika sejak empat tahun lalu, siasatan ini juga berupaya merungkai persoalan sekiranya petadbiran Najib Razak ada menerima tekanan dari Amerika Syarikat susulan transaksi 1MDB yang dikatakan disalurkan ke akaun peribadi beliau.

12. Kritikan keras Tun Mahathir bahawa radar kuasa besar, Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika, dan Boeing Aircraft Corporation sebagai perlu dipertanggungjawabkan bukanlah kenyataan sebarangan. Terdapat pelbagai persoalan tentang kepentingan nilai kandungan di dalam pesawat MH370 berkenaan yang relevan untuk memahami rasional kritikan beliau sejak empat tahun lalu.

13. Antara yang menjadi perhatian ialah kehadiran 20 kakitangan syarikat ‘Freescale Semiconductor’ dalam MH370 di mana 12 daripadanya ialah warga Malaysia, manakala 8 lagi warga China. Syarikat Freescale Semiconductor dikenali sebagai syarikat teknologi tinggi yang aktif membina dan mengeluarkan cip untuk kegunaan radar ketenteraan. Syarikat berkenaan baru sahaja melancarkan mikrocip pertahanan ke pasaran Amerika pada 3 Mac 2014, lima hari sebelum kehilangan berkenaan. Kesemua kakitangan berkenaan merupakan pakar teknikal dan kehilangan mereka dianggap sebagai kerugian besar kepada syarikat. Tidak hairanlah spekulasi kencang bertiup tentang Amerika berniat menghalang mereka dari ke China untuk ‘operasi rahsia pemerkasaan persenjataan China’.

14. Kandungan kargo MH370 yang awalnya tidak didedahkan dan meragukan turut membangkitkan persoalan: contohnya seperti beberapa tan ‘manggis’ mengakibatkan spekulasi besar-besaran bahawa ia adalah komponen persenjataan yang ditransit dari Malaysia ke China. Demikian juga kewujudan bateri ion-lithium dalam pesawat penumpang berkenaan.

15. Arah pesawat MH370 yang berpatah dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi juga menimbulkan spekulasi. Hal ini demikian kerana memang wujud Pangkalan Tentera Amerika iaitu di Diego Garcia di sana. Tidak hairanlah bekas ketua syarikat penerbangan Perancis, Proteus Airlines iaitu Marc Dugain dalam artikel beliau sepanjang enam halaman di ‘Paris Match’ pada 2014 mendakwa bahawa MH370 dirampas ke pulau di pertengahan Lautan Hindi yang menempatkan pangkalan strategik perisikan dan tentera udara Amerika.

16. Kesemua hipotesis ini mengukuhkan pendirian kritis Tun Mahathir terhadap CIA, Boeing, dan Amerika dalam kes MH370 sejak 2014 lagi. Keadaan ini bertentangan sama sekali dengan pentadbiran Najib Razak yang mengambil sikap tidak kritis sama sekali. Maka harus disiasat adakah tangan Najib telah ‘diikat’ Amerika yang mengetahui tiga fasa transaksi dana 1MDB ke akaun peribadi beliau?

17. Sepertimana laporan DoJ, ketiga-tiga fasa berkenaan ialah Fasa Good Star dan Putera Saudi beserta pengasas PetroSaudi pada Februari-Jun 2011 (bernilai USD 20 juta), Fasa Aabar BVI dan Blackstone pada Oktober-November 2012 (bernilai USD 30 juta), dan Fasa Tanore Corporation Finance pada Mac 2013 (bernilai USD 681 juta). Adakah Najib Razak telah dikenakan tekanan Amerika yang mengetahui kesemua fasa transaksi berkaitan 1MDB berkenaan hinggakan pengurusan kes MH370 beliau dilihat tidak kritis kepada Amerika sama sekali?

18. Modus Operandi ‘ugutan’ sebegini tidak asing bagi kepentingan politik Amerika Syarikat di mana antaranya dibuktikan dalam kes bekas pakar computer CIA Edward Snowden, bahkan direkodkan dalam karya bekas Setiausaha Negara dan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika, Henry Kissinger (bertajuk ‘Diplomacy’) dan juga bekas konsultan firma kejuruteraan Chas T. Main, John Perkins dalam ‘Confessions of an Economic Hitman’.

19. Kembalinya Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia diharapkan akan membawa bersama perspektif baharu dalam siasatan MH370 dan kemungkinan kaitannya dengan 1MDB. Seperti mana pendirian Tun Mahathir yang kritis tentang CIA, Amerika, dan Boeing sejak 2014, maka sewajarnya posisi yang sama diterjemahkan dalam pentadbiran beliau kini. Dunia sedang perhatikan Tun Dr. Mahathir. Dunia sedang perhatikan kita.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

Rujukan :

  1. “Boeing Technology: What Goes Up Must Come Down” http://chedet.cc/?p=1361
  2. “MH 370” http://chedet.cc/?p=1323
  3. “Missing Malaysia Airlines flight MH370: ‘CIA hiding something’ claims former leader Dr Mahathir Mohamad” (Independent.Co UK https://www.independent.co.uk/…/missing-malaysia… )
  4. “Mahathir raises ‘remote takeover’ theory in MH370 mystery” (The Star 23 Mac 2018 https://www.thestar.com.my/…/mahathir-raises-remote…/)
  5. Henry Kissinger, ‘Diplomacy’
  6. Perkins, J. (2016). The New Confessions of an Economic Hit Man. Berrett-Koehler Publishers.
  7. Temu bual 100 Hari MH370 Hilang: https://www.youtube.com/watch?v=yQQGe6FVAPs


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags: ,

Related Posts

Add Comment