Saya pernah kena ‘boo’ dengan remaja berbasikal, hanya maut dapat insafkan mereka

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

JOHOR BAHRU: Penduduk setempat di Jalan Lingkaran Dalam berkata hanya kemalangan maut dapat menginsafkan remaja “pelumba basikal” haram pada waktu malam, supaya aktiviti berbahaya yang berlangsung sejak bertahun-tahun lamanya itu, akhirnya dapat dihentikan.

Shamsir Firdaus, seorang pemandu Uber di sekitar Dataran Seri Gelam ketika menceritakan pengalamannya berdepan dengan kumpulan remaja basikal itu berkata, beliau sendiri pernah hampir terlanggar mereka kerana sesuka hati menggunakan jalan kereta sebagai laluan berbasikal.

“Saya pernah juga nyaris nak langgar mereka, sampai saya marah dan suruh mereka balik. Cuba bayangkan jika mereka ini anak kita. Mesti kita marah sebab keluar lewat malam dan berlumba basikal pula.

“Tetapi saya pula kena ‘boo’ balik. Remaja sekarang tak takut dengan kita orang dewasa,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kawasan Jalan Lingkaran Dalam, di sini malam tadi.

DAH 10 TAHUN !

Katanya, kumpulan remaja terbabit akan berlumba basikal dan tidak menghiraukan sesiapa pun yang memarahi mereka.

“Mereka tak takut polis, dan remaja ini sudah lali dikejar, ditangkap dan dirampas basikal. Bagi saya bagus jadi macam ini, jadi pengajaran kepada remaja lain. Selagi belum jadi sesuatu mereka tidak akan hirau.

“Bila jadi sesuatu macam ini baru sedar. Sejak dulu lagi memang macam ini. Aktiviti remaja berbasikal pada lewat malam ini berlaku sejak 10 tahun lalu lagi, malah sudah jadi ‘trend’,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kawasan Jalan Lingkaran Dalam.

Helmi Abdul Jalil, pekerja di KFC berhampiran tempat kejadian berkata sebelum ini ada satu kemalangan membabitkan remaja berbasikal lewat malam sehingga menyebabkan dahi koyak.

“Pernah ada kemalangan dekat lampu isyarat di Jalan Lingkaran Dalam. Remaja berbasikal itu langgar sebuah kereta sehingga dahinya koyak. Kemalangan itu berlaku pada awal Januari sebelum cuti akhir tahun sekolah berakhir.

“Tetapi, malangnya mereka tetap tidak insaf, setiap minggu berkumpul di sini dan naik basikal yang diubahsuai. Basikal mereka pelik, ‘handle’ tidak ada di bahagian atas, tetapi bertukar ke bawah.

“Kena kejar polis sudah macam mainan mereka. Bila polis datang, mereka lari dan sorok. Bila polis pergi, mereka datang balik di Jalan Lingkaran Dalam ini dan sambung semula aktiviti mereka,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, berlaku kemalangan ngeri apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan 30 penunggang basikal, yang semuanya remaja berumur 13 dan 17 tahun.

Enam antara mereka maut di tempat kejadian, manakala 2 lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah, yang jaraknya kurang 5km dari lokasi kejadian. Setakat ini, 2 lagi dalam keadaan kritikal manakala 6 yang lain cedera.

MENGHALANG LALUAN SEBELUM DIREMPUH

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata dalam kejadian 3 pagi itu, kumpulan remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitar sebelum dirempuh seorang pemandu wanita berusia 22 tahun.

Shamsir berkata malam minggu dan musim cuti sekolah menjadi waktu kemuncak untuk mereka berkumpul dan melakukan aktiviti berlumba basikal di Jalan Lingkaran Dalam.

“Biasanya, mereka akan berkumpul dari jam 12 tengah malam hingga 6 pagi dengan menunggang basikal yang diubah suai dan berkumpul di Dataran Seri Gelam.

“Mereka ini kebanyakannya datang dari luar kawasan pusat bandar raya. Ada yang datang sejauh dari Permas Jaya, Taman Desa Mutiara, Kempas dan Skudai.

“Sepanjang perjalanan mereka mengayuh basikal itu, mereka akan melalui kawasan lebuh raya. Dan lebih bahaya ialah mereka tidak memakai peralatan keselamatan langsung untuk berkayuh hingga ke Dataran Seri Gelam,” katanya.

 

WUJUDKAN UNDANG-UNDANG BARU. IBU BAPA PERLU DIDENDA

Shamsir berkata kerajaan negeri Johor perlu mewujudkan satu undang-undang yang lebih tegas dengan mengehadkan remaja untuk tidak keluar rumah selepas jam 12 tengah malam.

“Jadi jika kejadian seperti ini berlaku, tindakan boleh dikenakan kepada ibu bapa remaja yang bersalah. Ini kerana mereka membiarkan anak mereka keluar sehingga lewat malam.

“Remaja sekarang tahu apa. Mereka tahu seronok saja. Kerajaan negeri perlu kenakan denda. Ibu bapa perlu didenda,” katanya.

JOHOR BAHRU, 18 Feb – RENUNGAN TERAKHIR … Anggota keluarga terdekat menatap buat kali terakhir jenazah Muhammad Firdauz Danish M.Azahar,16, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh hari ini. Muhammad Firdauz salah seorang daripada lapan remaja lelaki berbasikal yang maut apabila dilanggar sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah awal pagi tadi. Dua lagi remaja kritikal manakala enam lagi cedera dan kesemuanya masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

PEMANDU TIDAK GUNA TELEFON KETIKA MEMANDU – POLIS

Polis menafikan dakwaan kononnya wanita yang merempuh sekumpulan remaja lelaki berbasikal sehingga lapan dari mereka maut di Jalan Lingkaran Dalam dekat sini, awal pagi tadi, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata siasatan telah dilakukan dan tiada elemen sedemikian ditemukan.

“Jika dia (mangsa terselamat) nampak, minta tampil beri statement (keterangan) pada polis,” katanya kepada Bernama, ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta menggulas beberapa dakwaan oleh mangsa-mangsa terselamat dalam kejadian tersebut, yang memberitahu wanita berusia 22 tahun itu kononnya bermain telefon ketika sedang memandu.

Sulaiman juga meminta orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang maklumat sahih berhubung kejadian berkenaan.

Menurut Sulaiman, wanita itu yang merupakan seorang jurujual baharu sahaja pulang dari rumah kawannya ketika kejadian.   

Dalam kejadian 3 pagi itu, lapan remaja lelaki dilaporkan maut setelah dirempuh kereta yang dipandu wanita berkenaan, mengakibatkan empat lagi patah kaki, dua orang tidak stabil berikutan pendarahan dalam otak dan seorang pula luka di kepala dan seorang lagi cedera di pinggul.

 

Kejadian berlaku ketika kumpulan remaja berkenaan sedang berbasikal menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru dan dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah di sini.

Menurut Sulaiman, tindakan mereka itu menyebabkan wanita itu tidak sempat mengelak lalu melanggar kumpulan berkenaan.

 

 

Sumber :
– www.freemalaysiatoday.com
 www.themalaymailonline.com

 


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment