‘Saya nampak lembaga hitam gergasi…’

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

“Saya nampak lembaga hitam bersaiz gergasi di belakang pelajar yang sedang histeria dan saya terus menangis tanpa sedar,” kata seorang pelajar yang diserang histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, semalam.

Pelajar terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 18, berkata, pada awalnya kesemua pelajar sedang berhimpun sebelum seorang pelajar Tingkatan Dua yang dikenali sebagai Anis menjerit secara tiba-tiba.

Katanya, Anis kemudian dibawa ke sebuah kelas sebelum histeria berjangkit kepada beberapa pelajar perempuan yang lain sehingga keadaan menjadi huru-hara.

“Ketika serangan histeria berlaku, saya dan beberapa rakan baru hendak beredar ke kelas sebelum seorang pelajar yang diserang histeria menjerit di depan saya dan saya terus jadi penat melampau dan tidak sedarkan diri… rakan kata saya menangis tanpa henti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir, Kota Bharu, hari ini.

Semalam, 39 pelajar diserang histeria ketika perhimpunan di SMK Ketereh pada 7.30 pagi, sebelum mereka dirawat oleh ustaz dan dibenarkan pulang ke rumah pada 11 pagi.

Ina berkata, pihak sekolah kemudian menghubungi ibu bapa pelajar yang histeria dan mereka dibawa pulang ke rumah masing-masing pada 8.30 pagi.

Katanya, serangan histeria itu tidak berakhir di situ, apabila ‘berjangkit’ menyerang ibu, Fatimah, 50 dan kakak sulungnya, Siti, 21 yang sedang mengandung enam bulan di rumah mereka.

Ina berkata, kejadian berlaku 9.30 malam tadi apabila Siti secara tiba-tiba mengamuk dan mengilai sebelum menjelir lidah seperti dicekik ‘sesuatu’.

“Dia juga mengugut mahu masuk ke hutan sebelum abang ipar panggil seorang ustaz dan ketika berubat Kak Long, ibu pula diserang histeria dan menjerit-jerit,” katanya yang juga anak kedua daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Fatimah berkata, ketika kejadian dia tidak sedar apa yang dilakukan namun anaknya, Siti yang sedang mengandung turut menari, mengilai dengan suara lelaki dan memuji dirinya cantik.

Tinjauan NSTP ke sekolah itu mendapati hampir separuh pelajar sekolah berkenaan tidak hadir ke sekolah hari ini.

Bagaimanapun sesi persekolahan berlangsung seperti biasa dan tiada sebarang gangguan sejak pagi tadi.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment