Saya kini lebih bahagia selepas bercerai dengan suami

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Gambar sekadar hiasan

 

“Saya kini lebih bahagia selepas bercerai dengan suami secara sah setahun lalu. Hidup lebih teratur malah saya bebas membuat keputusan sendiri. Saya langsung tidak takut mengenai rezeki kerana ia milik Allah,” kata Amira Azmi, 45, (bukan nama sebenar).

Enggan namanya disiarkan, ibu dua cahaya mata ini berhadapan dengan kes perceraian yang tertangguh hampir 10 tahun, dalam tempoh itu kehidupan Amira ibarat digantung tidak bertali. Hendak dikatakan dia masih isteri orang tetapi hakikatnya kehidupannya seperti ibu tunggal.

Sudah lama mereka tidak tinggal sebumbung. Nafkah pula langsung tidak diberikannya sehingga memaksa dia mencari pendapatan sampingan bagi menanggung dua anak yang sudah bersekolah.

Pernah dia terfikir untuk memohon bantuan zakat tetapi tanpa sijil perceraian permohonannya pasti ditolak. Dia sudah penat naik turun mahkamah bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya, tetapi suami tidak mahu memberikan kerjasama.

Bukan dia tidak tahu masalah dalam rumah tangga yang tidak mampu diperbetulkan semula, tetapi suami tetap dengan sikap keras kepala dan ego.

“Saya yakin suami sengaja mahu menyusahkan saya, dia ingin melihat saya menderita dengan membiarkan status saya sebegini sedangkan dia sudah berkahwin lain.

“Ego suami sangat tinggi. Sepatutnya kes ini dapat diselesaikan dengan mudah namun ia berlarutan disebabkan suami tidak mahu menceraikan saya di hadapan hakim walaupun sebenarnya dia sudah melafazkan cerai di hadapan saya.

“Apabila kes ini dibawa ke Mahkamah Syariah Kajang, suami tidak mengaku yang dia sudah menceraikan saya akibatnya hakim meminta kami pulang semula ke rumah untuk mencari penyelesaian,” kata Amira yang tetap tidak berputus asa dan mahu membebaskan diri daripada kongkongan suaminya.

Kecewa dengan keputusan mahkamah di daerah tempat tinggal, Amira kemudian membawa kes ini ke Mahkamah Syariah Jalan Duta untuk tuntutan fasakh malangnya masih lagi ditolak kerana suami bijak berkata-kata sehingga menampakkan dia seorang bertanggungjawab dan tidak mahu berpisah.

“Suami memang bijak bercakap di hadapan hakim. Walaupun dia tidak pernah memberikan nafkah kepada saya dan anak tetapi dia berbohong mengatakan semuanya berada dalam keadaan baik. Akhirnya hakim meminta saya bertemu kaunselor bagi memperbaiki hubungan,” katanya sayu.

Penolakan kali kedua membuatkan Amira sangat kecewa dan tertekan. Dia sedar hidup dalam keadaan digantung tidak bertali ini amat memeritkan. Sudahlah semuanya sendiri, dia pula berhadapan pandangan sinis masyarakat yang tidak dapat menerima status dirinya.

“Saya sedar suami sememangnya mahu menganiaya saya. Jika boleh dia memang enggan menceraikan saya tetapi mahu melihat sejauh mana saya boleh hidup tanpanya. Menangis sedih usah cerita dalam tempoh 10 tahun pelbagai dugaan saya lalui. Saya pula keluar rumah sehelai sepinggang. Mujur saya ada keluarga yang memberikan sokongan.

“Saya juga banyak membaca untuk mendapatkan ilmu apa yang perlu dilakukan. Biarlah saya terpaksa turun naik mahkamah, duit habis, jiwa merana namun tidak akan menyerah kalah,” katanya lagi.

PERMOHONAN BERJAYA

Dengan wang simpanan untuk pembayaran peguam yang semakin berkurangan, akhirnya Amira dinasihatkan untuk membuat permohonan hakam di mahkamah syariah.

“Saya langsung tiada ilmu mengenai hakam dan tidak diberitahu mengenainya. Memang saya terkilan kerana selama 10 tahun menunggu, terpaksa melalui jalan berliku akhirnya saya menemui jalan singkat untuk memohon perceraian tanpa kehadiran atau persetujuan suami.

“Saya pasti ramai wanita yang ada masalah seperti saya kurang kurang tahu mengenainya. Proses yang singkat serta kos sederhana sangat memudahkan wanita terutama yang menghadapi masalah digantung tidak bertali,” katanya.

Selepas membuat pembacaan di Internet dan bertanya lebih lanjut di pejabat agama Amira terus membuat permohonan hakam menerusi mahkamah syariah. Dalam tempoh dua bulan selepas hakim meneliti kes Amira, hakim memutuskan permohonan Amira berjaya walaupun tanpa kehadiran suami atau mendengar keterangannya.

“Siapa yang tidak gembira apabila dapat membebaskan diri sepenuhnya. Syukur alhamdulillah kerana akhirnya tali yang digantung selama ini terlerai secara rasminya,” ujarnya sayu.

Katanya lagi berdasarkan pengalamannya wanita sering menjadi mangsa keegoan lelaki sehingga menyebabkan mereka digantung tidak bertali. Walaupun perceraian itu halal tetapi proses yang terpaksa dilalui menyebabkan ada yang tidak sanggup memohon cerai dan hidup dalam keadaan menderita dengan pasangan masing-masing.

Bagi isteri yang bersedia untuk berpisah pula mereka terpaksa melalui detik malang akibat rasa marah pasangan sehingga perceraian tertangguh lama.

“Ini berlaku apabila suami tidak mahu memberikan kerjasama menyebabkan kes digantung tidak bertali saban hari semakin bertambah. Contohnya saya terpaksa menunggu 10 tahun naik dan turun mahkamah untuk bercerai. Akhirnya saya sah berpisah menerusi hakam,” katanya.

Nasihat Amira wanita perlu sedar kedudukan dan hak mereka. Jika rasa teraniaya jangan tunggu segera bertindak membebaskan diri. Apa yang perlu banyakkan membaca untuk mendapatkan ilmu dan mendapatkan nasihat pejabat agama. Dapatkan sesi kaunseling dengan mereka yang pakar.

“Ini sangat penting kerana mungkin selama ini ramai yang memberikan semangat dan nasihat termasuk ibu bapa, rakan atau saudara-mara namun ia tidak sama dengan sesi kaunseling dijalankan golongan profesional. Mereka lebih tahu dan mahir menyelami perasaan serta mencari penyelesaiannya.

“Selepas bertemu kaunselor saya tahu apa yang perlu dilakukan. Jiwa saya pula lebih kental mengharungi kehidupan. Ada orang menyedarkan saya tidak salah berpisah asal hidup saya lebih bahagia daripada kehidupan sebelum ini. Jangan takut bergelar ibu tunggal atau janda kerana ia cuma persepsi atau tanggapan masyarakat sahaja. Akhirnya diri sendiri yang akan melalui semua kesusahan sedangkan tiada siapa mahu membantu,” katanya mengakhiri perbualan.

 

Hantarkan confession anda di sini :
https://mynewsviral.com/confession-form/


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
   

Related Posts

Add Comment