Saya kesal dan kecewa kerana batu nisan milik ayah sudah tiada lagi

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Sungai Besar: “Saya kesal dan kecewa kerana batu nisan milik ayah sudah tiada lagi. Namun, saya reda dan berdoa supaya rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman.”

Begitu kata Musa Adnan, 81, yang mendakwa satu daripada batu nisan itu dipercayai milik bapanya Adnan Omar yang meninggal dunia pada 1970-an susulan laporan Harian Metro pada 1 Disember lalu mengenai penemuan dua batu nisan di tapak projek perumahan di Kampung Sungai Haji Dorani di sini.

Musa berkata, dia mendapat tahu mengenai penemuan batu nisah berkenaan selepas diberitahu anaknya, Siti Aminah, 27, yang kebetulan melayari laman sosial Facebook (FB) Harian Metro, Jumaat lalu.
“Dia (Siti Aminah) melayari laman sosial dan secara tidak langsung menemui berita mengenai batu nisan itu lalu menunjukkan berita berkenaan kepada saya dan mengenali batu nisan berkenaan melalui gambar selepas diamati.

“Ia berdasarkan keadaan ciri fizikal yang ada pada batu nisan itu retak pada cermin serta mempunyai permukaan tulisan berwarna hitam,” katanya.

Musa dari Bandar Tun Razak, Cheras, berkata dia mengajak isteri Khamsinah Amid, 64, bersama keluarga menuju ke tempat penemuan batu nisan berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut.

“Dalam hati, hanya Allah yang tahu perasaan rindu terhadap orang tua yang membesarkan saya bagai menatang minyak penuh walaupun sudah lama meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia mengharapkan perkara sama tidak berulang kepada orang lain.

“Kalau boleh, berilah masa kepada saya dan keluarga datang serta melihat sendiri batu nisan itu sebelum diserahkan kepada pihak lain. Namun, perkara sudah berlaku dan apa diharapkan agar isu ini tidak diperbesarkan demi menjaga sensitiviti keluarga,” katanya.

Sementara itu, Siti Aminah berkata, dia kecewa dengan pihak yang mengalihkan batu nisan milik datuknya ke satu tempat lain.

“Ketika membaca berita mengenai penemuan (batu nisan) itu, saya segera memberitahu ayah dan dia terus menangis saat melihat gambar batu nisan itu.

“Ayah pernah cakap yang dia teingin pergi menziarahi kubur arwah ayahnya. Namun, disebabkan pelbagai faktor termasuk uzur menyebabkan dia terpaksa menangguhkan perjalanan sehingga kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.

Katanya, sebaik tiba di kampung itu, dia sekeluarga dimaklumkan kedua-dua batu nisan itu diambil pihak lain yang tidak diketahui.

“Hati siapa tidak kecewa apabila batu nisan milik insan kesayangan diambil orang tidak dikenali dan perjalanan kami ke sini (Kampung Sungai Haji Dorani) seolah-olah kosong tanpa erti,” katanya.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
   

Related Posts

Add Comment