Sama cantik, sama bijak dan bukan calang-calang orang

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Kembar seiras yang tidak pernah terpisah sejak kecil bukan sahaja mencapai cita-cita menjadi guru seperti bapa mereka, malah membanggakan keluarga apabila menerima Anugerah Sarjana Terengganu 2017.

Faten Syafika dan Faten Fazrin Mohd Sharin, 26, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah antara 200 anak Terengganu yang diraikan selepas mendapat keputusan kepujian kelas pertama dalam Majlis Penyampaian Anugerah Sarjana Terengganu 2017 Yayasan Terengganu (YT) di Kuala Terengganu hari ini.

Majlis penyampaian disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Menurut Faten Syafika yang mesra disapa Syafika berkata, dia bersama adik kembarnya bercita-cita menjadi pendidik kerana mahu mengikut jejak langkah bapa mereka, Mohd Sharin Abd Rahman, 68.

“Alhamdullilah, selepas bertungkus lumus selama empat tahun, kami berjaya menamatkan pengajian pada Januari lalu dan sepanjang berada di sana, kami sentiasa memberi sokongan dan membantu di antara satu sama lain.

“Ia kelebihan kepada kami kerana dapat bersama memandangkan keluarga jauh dan kami gembira kerana dapat membanggakan keluarga sehingga dipilih menjadi penerima anugerah ini.

“Ketika ini, kami sedang menunggu arahan lanjut untuk penempatan sebagai guru. Mungkin kali ini, kami akan berpisah,” kata anak kelima daripada enam beradik.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Rangkaian), Kolej Universiti TATI Kemaman Muhammad Syimir Abd Halim, 25, berkata, dia belajar bersungguh-sungguh kerana mahu membalas jasa arwah bapa, Abd Halim Ismail dan ibu, Rafeah Awang, 60.

“Arwah ayah meninggal pada April 2015 ketika saya sedang bersedia menghadapi peperiksaan akhir.

“Memang sedih sebab arwah ayah tidak sempat lihat kejayaan saya tetapi saya tahu dia gembira dengan kejayaan saya hari ini.

“Fokus saya kini adalah untuk membahagiakan ibu dan adik beradik lain. Mengenai anugerah hari ini, saya bersyukur kerana menjadi anak Terengganu kerana pelbagai bantuan dan insentif diberikan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, seramai 200 orang membabitkan 36 penuntut dalam bidang ikhtisas seperti perubatan dan kejuruteraan manakala selebihnya dalam bidang bukan ikhtisas seperti pendidikan dan seni menerima insentif membabitkan peruntukan RM672,000.

Katanya, 36 penuntut menerima insentif sebanyak RM5,000 seorang manakala bakinya menerima insentif berjumlah RM3,000.

“Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM5.4 juta sejak 1998 untuk memberi insentif kepada 1,427 penuntut yang menerima Anugerah Sarjana YT.

“Insentif ini diberikan kerajaan negeri bagi mengiktiraf penuntut yang memperoleh keputusan kepujian kelas pertama di peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

“Selain itu, kerajaan negeri meminta YT mengadakan program penyampaian insentif kepada penuntut yang cemerlang di setiap semester.

“YT diminta bekerjasama dengan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) yang ditubuhkan kerajaan negeri di semua universiti awam dan swasta di seluruh negara terutamanya membabitkan penuntut dari negeri ini.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment