Pesanan terakhir jadi kenyataan

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

HATI-HATI dengan lori. Itu pesanan terakhir Aida Suriani Iskandar Abdullah kepada adik tirinya Siti Nur Aisah Aman, 21, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 451.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Sungai Buloh, malam semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, dua anak saudara Aisah iaitu Iffa Qistina Aida Abdullah, 14, dan adiknya Mohamad Norridwan, 10, turut maut.

Ketiga-tiga bersaudara itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Wave dinaiki melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan.

Aida berkata, adik bongsunya bersama dua anak saudara itu pulang ke Kampung Gajah, Perak sejak minggu lalu untuk berjumpa ibu kanak-kanak berkenaan.

Katanya, dia juga tidak dimaklumkan mereka pulang ke kampung, dan hanya dihubungi arwah kira-kira tiga hari selepas mereka meninggalkan rumah.

“Saya masih dalam cuti sakit kerana cedera di kaki akibat kemalangan pada 27 Jun lalu, dan meminta Aisah yang bekerja sebagai pelayan restoran untuk bercuti bagi menjaga saya.

“Bagaimanapun, minggu lalu, saya mendapati mereka tiada di rumah sebelum dihubungi Aisah memaklumkan mereka menaiki motosikal pulang ke Kampung Gajah, Perak untuk bertemu dengan adik (ibu kanak-kanak itu),” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

AIDA Suriani (berkerusi roda) ketika ditemui di di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

 

Menurutnya, dia ada menghubungi Aisah dan meminta mereka pulang semula ke rumah di Bandar Botanic, Klang.

Katanya, dua anak saudaranya sudah lama tidak hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman, Klang sejak pulang ke kampung.

“Semalam Aisah ada membuat panggilan video menerusi aplikasi Whatsapp memaklumkan mereka akan balik ke rumah (Klang) kira-kira jam 5 petang.

“Dalam panggilan video selama kira-kira 20 minit itu, saya perasan mata Iffa nampak lain seolah-olah bengkak, namun tidak berfikir yang bukan-bukan.

“Sebaik tamat panggilan, saya menghantar mesej kepada Aisah supaya berhati-hati dengan lori kerana mereka balik menggunakan lebuh raya yang mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai (ke Klang),” katanya yang bekerja sebagai kerani.

Menurutnya, dia tidak menyangka itu adalah kali terakhir mereka berhubung dan rasa amat terkilan.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 9 pagi hari ini oleh abangnya selepas anggota polis datang ke rumah mereka.

“Selepas mesej terakhir dihantar kepada Aisah, mereka terus tidak dapat dihubungi. Malah, saya dan ahli keluarga lain beberapa kali menghubungi mereka sejak jam 9 malam semalam hingga 3 pagi tadi, namun gagal.

“Apabila dimaklumkan oleh abang mengenai kemalangan itu, saya hanya mampu meraung. Saya rasa amat sedih kerana mereka amat rapat dengan saya kerana kami tinggal bersama sejak anak saudara masih kecil lagi.

“Sejak arwah ibu meninggal dunia lima tahun lalu, saya mengambil tugas menjaga dua anak saudara selepas ayah mereka meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu, manakala ibunya pula sudah berkahwin lain,” katanya.

 

Sumber :
– https://www.hmetro.com.my/utama/2018/07/358747/pesanan-terakhir-jadi-kenyataan


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment