“Peruntukan RM30 juta untuk maahad tahfiz swasta seluruh negara” – PM

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

KERAJAAN memperuntukkan RM30 juta untuk semua maahad tahfiz swasta seluruh negara untuk menaiktaraf struktur fizikal masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, peruntukan itu untuk memastikan maahad tahfiz swasta berada dalam keadaaan selamat.

“Buat pertama kalinya kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta kepada semua maahad tahfiz swasta di seluruh negara.

“Ini adalah untuk mengemaskini struktur maahad tahfiz secara fizikal dan kami menyangkal (dakwaan) kerajaan tidak membantu pembinaan perjalanan tahfiz selama ini,” katanya selepas melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, hari ini.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan pada Selasa untuk menguruskan dan melihat kembali pengurusan maahad tahfiz itu.

Dalam masa sama, beliau secara peribadi merasa sangat sedih dengan pemergian 21 pelajar dan dua tenaga pengajar pusat tahfiz itu.

“Ini takdir Ilahi, mereka merancang untuk berpindah ke bangunan baru dalam masa terdekat, tetapi takdir mengatasi segalanya.

“Saya mewakili kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Bantuan akan diberikan oleh kerajaan, Umno dan saya secara peribadi juga akan salurkan bantuan kerana anak-anak ini melakukan ibadat di rumah saya di Jalan Duta setiap malam Jumaat sejak sekian lama,” katanya.

Bantuan katanya akan diberikan dalam tiga kategori.

“Kita akan beri kepada tiga kategori pertama, keluarga mangsa terkorban, kedua, mereka yang cedera dan ketiga, mereka yang terbabit dan mengalami trauma,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak untuk menunggu hasil laporan penuh kerana siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pihak berkaitan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan seorang lelaki dipanggil untuk membantu siasatan, tetapi enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mencemar duli melawat pusat tahfiz itu jam 10.20 malam dan mendengar taklimat berhubung kejadian bersama Najib dan Mohamad Fuzi.

Baginda meluangkan masa kira-kira sejam melawat pusat tahfiz yang terbakar semalam sehingga mengorbankan 23 mangsa.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment