Pengasuh mengaku tak salah aniaya, lupus mayat Adam Rayqal

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

SELAYANG – Pengasuh kepada bayi lelaki berusia lima bulan yang ditemui tidak bernyawa dalam peti sejuk mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menganiaya dan melupuskan mayat bayi itu, awal bulan ini.

Tertuduh, Noor Aqilah Abd. Rahman membuat pengakuan tidak bersalah itu dihadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Mengikut pertuduhan pertama, Noor Aqilah, 33, didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas Adam Raykal Mohd Sufi Naeif didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala di sebuah rumah di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves antara jam 6.20 petang dan 6.50 petang 3 Julai 2018.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua pula, wanita itu didakwa melupuskan mayat mangsa dengan niat untuk menyembunyikan kematiannya bagi menyebabkan dia terlepas hukuman di lokasi dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai t-shirt warna ungu dilihat tenang sepanjang prosiding berlangsung.

Ibu tertuduh turut hadir bersama keluarganya mengikuti prosiding.

Timbalan Pendakwa Raya Sm Arunjothi membantah jaminan diberikan ke atas tertuduh atas alasan kes itu berkepentingan awam dan menarik perhatian orang awam.

Bagaimanapun peguam Dinesh Mutal memohon jaminan diberikan dengan kadar minimum memandangkan tertuduh tidak mempunyai pendapatan dan masalah ekonomi keluarga.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan supaya melapor diri di balai polis dua kali sebulan.

13 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment