“Penentuan waktu solat bukti bumi sfera”- Pakar Fizik

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

PAKAR Fizik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Syed Yusainee Syed Yahya menentang sekeras-kerasnya teori kepercayaan yang mendakwa bumi berbentuk datar. Beliau mengupas satu hujah yang menangkis pendapat  bumi ini mendatar iaitu menerusi ilmu falak.

“Penentuan kedatangan dan kedudukan anak bulan, penetapan waktu solat secara tepat dan automatik dilakukan berdasarkan kiraan bumi berbentuk sfera.

“Itu belum lagi termasuk kiraan peristiwa gerhana bulan dan matahari yang boleh dikira sehingga ketepatan dalam bacaan saat. Apa yang boleh saya katakan ialah, semua yang telah sah dicapai dan dikongsikan adalah mustahil jika pendapat bumi ini datar diterima,” tegasnya.

Menurutnya, baru-baru ini muncul perdebatan di media sosial tentang pendapat yang menyatakan bahawa bumi ini sebenarnya datar bukannya sfera seperti dibaca dalam buku atau yang dipelajari di sekolah dan universiti.

“Mereka membawa teori yang dikemukakan oleh Ptolemy yang menyatakan bumi ini datar dan menjadi pusat alam semesta.

“Teori ini kemudian lebih dipercayai apabila ada nama besar lain yang bersetuju seperti Ibnu Sina. Mereka tidak pula membawa pendapat saintis lain zaman itu setara ilmunya iaitu Al-Khawarizmi yang percaya bahawa bumi ini bulat (sfera),” jelasnya.

Tambahnya,  dalam pencarian ilmu,  berbeza pendapat itu perlu diraikan. Pada zaman itu pendapat yang mengatakan bumi itu bulat atau mendatar adalah bersandarkan ilmu yang sah pada ketika itu.

“Perlu diingat bahawa kebanyakan ahli sains pada ketika itu merupakan ahli falsafah. Mereka juga sedang mencari jawapan sama ada alam ini pencipta atau alam ini terjadi secara semulajadi. Mereka memberi pendapat dan pendapat itu dianggap benar sehinggalah ada bukti terbaru yang mampu untuk menangkis pendapat tadi. Itulah yang berlaku kepada ahli astronomi Perancis, Galileo Galelei.

“Pendapat yang telah diterima oleh pihak gereja di cabar oleh bukti pencerapan langit yang dilakukan oleh Galileo. Akhirnya Galileo dihukum dan ceritanya selepas itu kita semua telah tahu,” katanya.

Dr Syed Yusainee berkata, satu perkara yang ramai terlepas pandang bahawa semua saintis yang disebut tadi hidup sebelum zaman satelit.

“Mereka tentu tidak terfikir yang manusia boleh keluar daripada bumi ini. Bermula pada 4 Oktober 1957 dengan pelancaran satelit tiruan pertama Sputnik-1 oleh Soviet Union (Russia sekarang) segala-galanya telah berubah.

“Ini diikuti oleh Yuri Gagarin yang pada 12 Apri 1961 menjadi manusia pertama yang di hantar ke angkasa lepas. Adakah Yuri Gagarin kembali ke bumi dan mengatakan dia nampak bumi seperti terhampar seperti permaidani? Tidak ! Bumi itu bulat seperti bola. Itu adalah bukti yang sepatutnya telah memadamkan pendapat yang bumi itu datar,” tegasnya.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku, sebaliknya ada pihak yang bersungguh menegak benang basah.

“Muncul kilasan yang mengatakan itu semua adalah palsu malah mereka membawa pula persaingan Amerika Syarikat dan Soviet Union ketika itu untuk mendarat di bulan sebagai modal.

“Mereka tidak tahu yang semua ahli fizik di pihak Amerika Syarikat dan Soviet Union membuat perkiraan semuanya dengan teori graviti dengan berasaskan bumi ini bulat. Apabila manusia berjaya sampai ke bulan pada 20 Julai 1969 dan merakamkan gambar bumi dari bulan, perkara yang sama juga berlaku. Mereka kata itu adalah rakaman dalam studio.

“Selepas itu manusia perlu lebih jauh, teknologi menghantar manusia ke bulan sudah menjadi teknologi kuno. Manusia menghantar satelit ke tempat lain. Manusia hantar satelit ke planet, asteroid bahkan satelit Voyager 1 telah sah menjadi satelit buatan manusia yang telah keluar dari sistem suria. Semua itu berdasarkan kiraan dengan mengambilkira bumi ini bulat,” katanya.

MANUSIA PERCAYA BUMI RATA SEJAK RIBUAN TAHUN ?

SEJAK ribuan tahun lalu, dari tamadun Mesir purba, Greek Kuno hinggalah ke tamadun Indus dan China lama mempercayai bumi ini berbentuk rata. Selain tamadun ini, tamadun-tamadun kuno lain di benua Afrika dan Amerika juga mempercayainya.

Mereka juga menganggap bumi ini sebagai pusat alam semestar dan segalanya mengorbit bumi. Tamadun lama ini percaya bumi ini berbentuk seperti disket dan di atasnya ada kubah besar seperti dome (kubah).

Mereka juga menganggap bumi mempunyai penghujung dan jika kapal melaluinya akan jatuh ke dalam lubang yang teramat dalam.

Filosofer terkenal Greek seperti Homer dan Hesoid juga menulis bumi berbentuk rata dalam tulisan mereka.

Homer dan Hesoid

 

Mereka menyifatkan bumi seperti perisai Achilles. Teori bumi rata dan berbentuk disket ini sudah terbenam dan diterima pakai dalam setiap tamadun untuk ribuan tahun.

Jika dilihat dari mata kasar, bumi sebagai pusat alam semestar seakan betul kerana kita sendiri melihat segalanya berputar mengelilingi kita. Namun benarkah begitu?

Sejak abad ke-5 sebelum Masihi, kepercayaan ini mula dicabar apabila ramai pakar membuat kajian dan membuktikan sebaliknya. Filosofer Greek, Pythagoras dan Parmenides menulis bahawa bumi ini berbentuk sfera. Kajian mereka diteruskan oleh Aristotle dengan kajian lebih terperinci. Aristotle telah membuat kajian lilitan bumi dan beliau mendapati ia melengkung.

Pada abad ke-5 Masihi, dalam buku Cicero’s Dream of Scopio, catatan oleh Macrobius Ambrosius Theodosius dan Martianus Minneus Felix Capella menyebut terdapat perbezaan musim di utara dan selatan bumi. Mereka mencatatkan apabila musim sejuk berlaku di utara, di selatan bumi berlakunya musim panas. Kata mereka, keadaan ini hanya boleh berlaku jika bumi ini berbentuk sfera.

Pada zaman kegemilangan Islam, astronomi Islam sudah membuktikan bahawa bumi ini berbentuk sfera.

Pada abad ke 9, Khalifah Al Makmun mengarahkan ahli-ahli astronominya mengukur jarak dari Palmyra ke Al Raqqah. Mereka mendapati terdapat perbezaan 1 darjah latitud dan mengira lilitan bumi adalah 40,248 kilometer.

Kiraan oleh ahli astronomi Islam ini hampir tepat dengan kiraan pada hari ini iaitu 40,068 km.

Selain itu, terdapat ramai lagi asronomi Islam antaranya Al Farghani dan Abu Rayhan Biruni yang membuktikan bahawa bumi ini berbentuk sfera.

Kajian oleh astronomi Islam ini dijadikan asas astronomi moden dan dipakai hingga ke hari ini.

Walaupun ramai ilmuan telah berjaya membuktikan bumi ini berbentuk sfera, masih terdapat golongan minoriti menolak kajian ini.

Pada abad ke -19, seorang penulis English, Samuel Rowbotham telah menerbitkan risalah bertajuk Zetetic Astronomy yang bertegas bahawa bumi ini berbentuk rata.

Bertitik tolak dari sini golongan yang menggelar diri mereka bumi rata mula menyampaikan teori mereka ke seluruh dunia.

Pada tahun 1956, Samuel Shenton telah menubuhkan Pertubuhan Pengkaji Bumi Rata Antarabangsa (IFERS) yang berpengkalan di Dover, United Kingdom.

Pada hari ini, pertubuhan ini diketuai oleh Daniel Shenton dan mereka melancarkan kempen bumi rata melalui kajian dan disiarkan di internet.

 

 

Sumber :
– www.sinarharian.com.my/penentuan-waktu-solat-bukti-bumi-sfera
– www.sinarharian.com.my/manusia-percaya-bumi-rata-sejak-ribuan-tahun


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment