Penat beratur panjang, penerima mahu BR1M masuk semula akaun

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

KANGAR, 2 Mac — Maklum balas dan pandangan orang ramai khususnya penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 di negeri ini akan dilaporkan kepada kerajaan persekutuan, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata kerajaan persekutuan akan dimaklumkan mengenai perjalanan proses pemberian membabitkan 52,212 penerima yang diagih secara manual bermula hari ini kerana sebelum ini BR1M dimasukkan terus dalam akaun bank mereka.

“Keputusan BR1M 2017 dibayar secara manual bukan diputuskan oleh kerajaan negeri, kita (kerajaan negeri) hanya melaksanakan apa yang diarahkan,” kata Azlan kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian itu di Dewan Warisan, di sini, hari ini.

Katanya kerajaan negeri menetapkan pemberian dilaksanakan berperingkat-peringkat mengikut Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri bagi memastikan prosesnya berjalan lancar.

Pemberian hari ini bermula dengan 5,070 penerima DUN Kuala Perlis dalam Parlimen Kangar diikuti Parlimen Padang Besar dan Arau.

Mengikut pecahan, Parlimen Kangar membabitkan 20,264 penerima; Padang Besar (15,991 orang) dan Arau (15,957 orang).

Seorang penerima Ahmad Zailan Kadir, 60, mahu BR1M dikredit terus ke dalam akaun bank penerima pada masa akan datang.

“Saya terpaksa beratur panjang sejak awal pagi bagi mendapatkan baucer BR1M dan kemudian ditunaikan pula di kaunter yang disediakan.

“Proses dah terkebelakang dan menyusahkan khususnya kepada warga emas selain membuang banyak masa. Bagaimana (pula dengan) penerima yang uzur,” katanya.

Jamilah Harun, 42, pula berkata masalah kelewatan di kaunter membabitkan wakil penerima masih terus berlaku.

“Saya mewakili ayah menerima BR1M, terkilan kerana terpaksa menunggu lama sementara menanti proses kelulusan,” katanya.

 

Sumber :
– www.themalaymailonline.com

 


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment