Parti ‘tunggang’ agama, kaum tak relevan lagi, kata Mujahid

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

WAWANCARA | Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata parti politik yang mengeksploitasi agama atau kaum dilihat sudah tidak relevan lagi pada masa kini.

Menjelaskan lagi kenyataannya itu, Mujahid berkata beliau tidak menolak Islam sebaliknya berpendapat agama itu luas dan tidak hanya terhad kepada kepartian semata-mata.

“Parti politik yang menggunakan agama atau kaum sudah tidak relevan lagi. Saya nak tegaskan, ‘yang menggunakan’.

“Bukan saya tolak Islam. Islam itu besar, bukan sekadar guna dalam parti atau tidak,” jelas Mujahid dalam wawancara dengan Malaysiakini ketika menjawab soalan mengenai sesetengah pihak – termasuk parti lamanya PAS – yang dilihat ekstrim dalam menjatuhkan hukum terhadap seseorang.

Islam lebih sekadar politik

Anggota parlimen Parit Buntar itu juga berkata berlaku salah pengertian jika Islam hanya diletakkan untuk kepentingan parti politik.

“Islam itu adalah satu cara hidup. Islam itu ialah al-din (agama). Kalau letak Islam hanya kepentingan parti, guna ayat al-Quran untuk mengukuhkan bahawa dia mewakili Islam, itu misrepresentation.

“Kita perlu menjadikan Islam itu menjangkau lebih sekadar politik. Islam bukan hanya kepartian tetapi Islam ada satu prinsip besar yang memandu sebagai satu panduan kehidupan yang mencakupi ibadah, muamalat, kenegaraaan, undang-undang,” jelas anak kepada bekas mursyidul am PAS yang pertama itu lagi.

Mengulas lanjut mengenai ekstremisme agama di negara ini, beliau berkata mahu melahirkan lebih pendakwah yang memahami Islam sebagai suatu agama yang membawa rahmat untuk sekalian alam.

Ramah tamah, bukan marah-marah

Malah, beliau juga bercadang untuk mewujudkan panduan bagi para pendakwah yang ingin berceramah di masjid atau di tempat-tempat terbuka agar tidak menyebarkan kebencian dalam penyampaian mereka.

“Bagi saya ini cabaran yang terpaksa saya hadapi.

“Sebab itu kita akan bawa konteks dakwah dan melahirkan para pendakwah atau ketua kumpulan di kalangan ustaz dan ulama yang membawa gagasan rahmatan lil alamin (rahmat sekalian alam) agar tak ada ruang kepada ekstremisme atau keganasan Islam.

“Kita mahu Islam yang ramah tamah, bukan marah-marah.

“Sebab itu saya akan keluarkan panduan rasmi. Standard piawaian para ustaz ini tinggi. Dia mungkin ada ilmu tetapi mereka kena kuasai method penyampaian dakwah dan hindari daripada gunakan agensi agama untuk tujuan kebencian politik, ketegangan kaum atas nama agama, atas nama fatwa yang ekstrim. Saya akan tangani, insya-Allah,” ujarnya.

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/432961


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment