Padah guna inai, tangan pengantin perempuan ini melepuh teruk

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

HASRAT seorang wanita untuk menghias tangannya dengan inai hitam (black henna) bertukar mimpi ngeri apabila kedua-dua tangannya bengkak dan melepuh teruk akibat kesan sampingan inai yang dipakainya ketika bercuti di Maghribi, Morocco baru-baru ini.

Pada mulanya, Sophie Akis, 22, yang bercuti bersama beberapa ahli keluarganya bercadang mahu membuat tatu sementara, namun harga yang ditawar di kawasan pasar di bandar itu terlalu tinggi.

Sophie kemudiannya memutuskan untuk mencuba inai yang dijual peniaga tepi jalan dengan bayaran sebanyak 4 pound (RM22.40), lapor Metro UK.

Selepas dua jam memakai inai tersebut, Sophie berkata, dia pergi ke lapangan terbang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarganya yang mahu pulang dan sebaik kembali ke hotel, dia mendapati beberapa bonjolan kecil muncul dan kulitnya mula rasa gatal.

“Saya hanya letakkan tangan saya di bawah sinaran matahari (untuk keringkan inai). Saya tidak bimbang mengenainya kerana saya tidak mempunyai sebarang masalah (kulit),” katanya.

Bagi mengelakkan sebarang masalah, Sophie pergi berjumpa dengan pegawai farmasi dan tangannya disapu ubat serta dibalut bagi mengurangkan kesan sampingan.

Bagaimanapun, pada pagi 26 April sebaik bangun tidur Sophie berkata, tangannya berasa panas luar biasa dan ia semakin membengkak.

“Apabila saya membuka balutan, saya menangis serta-merta. Ia mula melepuh dan berasa seperti seseorang telah menuang minyak panas di seluruh tangan saya,” jelasnya.

Pada hari sama juga, Sophie dan suaminya akan menaiki penerbangan pada jam 11 pagi untuk pulang ke Turki, namun sebelum menaiki pesawat, mereka sekali lagi pergi ke farmasi untuk mendapatkan rawatan.

Sebaik sahaja tiba di Corum, Turki, Sophie terus bergegas ke hospital dan diarah berjumpa dengan doktor pakar kulit.

Doktor memberitahunya, apa yang berlaku adalah kesan alergik dan doktor berikan ubat iodin serta Sophie perlu membasahkan tangannya setiap 10 minit dalam masa dua hari dan disapu dengan ubat krim kulit.

Berikutan insiden itu, Sophie menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mahu memakai inai hitam dengan mengambil tahu kandungan bahan tersebut bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.

“Saya sebenarnya tidak tahu bahawa mereka (penjual) membuat inai hitam menggunakan bahan kimia yang digunakan dalam pewarna rambut. Nasihat saya kepada orang ramai, jika anda mempunyai alahan kepada pewarna rambut maka pastikan tidak menggunakan inai hitam.

“Jika belum pernah mencubanya, maka berhati-hati dan sentiasa lakukan ujian (kulit) terlebih dahulu. Jika tidak, anda mungkin akan merana dengan kesan sampingan seumur hidup,” katanya.

Yayasan Skin British baru-baru ini melancarkan kempen #AvoidBlackHenna pada musim panas sebagai memberi amaran kepada orang ramai mengenai bahaya kesan sampingan.

 

Sumber :
– www.suara.tv


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment