Minum cendol bersama sebelum tembak rakan sendiri

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

PENGAWAL keselamatan yang ditemui mati dipercayai ditembak rakan setugasnya dalam kejadian di balai pengawal kilang ubat di Taman Farmasi di Seri Iskandar, malam tadi sempat minum cendol bersama suspek pada hari kejadian.

Mangsa yang juga Orang Asli, Masri Pandak, 37, membeli cendol untuk dua rakannya iaitu suspek berusia 52 tahun serta seorang lagi lelaki berusia 57 tahun, malah sempat minum bersama dan ketiga-tiga mereka bertugas pada syif yang sama.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa memulakan tugas semalam pada 3 petang sebelum syif tamat pada 11 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek mempunyai hubungan baik, namun tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham atau masalah peribadi sebelum kejadian berlaku.

“Kita tidak mendapat maklumat lagi jika mereka ada bergaduh atau perselisihan faham dan siasatan awal mendapati mereka mempunyai hubungan baik tapi kita tidak tahu apa berlaku (sebelum itu).

“Kejadian itu juga tidak berunsurkan samun kerana barang milik mangsa tidak hilang dan tiada tanda pergelutan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, polis kini giat mengesan rakan sekerja mangsa berusia 52 tahun yang menghilangkan diri selepas kejadian.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes curi dan polis juga memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian antara 7.30 hingga 8 malam itu, Masri ditemui maut dengan kesan tembakan di dada kiri dipercayai ditembak rakan sekerjanya dengan satu das tembakan.

Tembakan itu dipercayai dilepaskan dengan menggunakan pistol milik suspek pada jarak dekat dan turut ditemui satu kelongsong serta satu anak peluru di lokasi kejadian.

Mangsa ditemui terbaring sudah tidak bernyawa di lantai pondok pengawal oleh seorang lagi rakan setugasnya sebelum melaporkan perkara itu kepada polis.

 

Sumber :
– https://www.hmetro.com.my/utama/2018/09/373320/minum-cendol-bersama-sebelum-tembak


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment