Menyelamatkan anjing dapat pahala, kata mufti

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

PETALING JAYA: Islam tidak melarang umatnya memelihara anjing malah menggalakkan mereka berbuat baik kepada binatang itu walaupun terdapat peraturan penyucian, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Nor.

Wan Salim berkata manjaga binatang termasuk anjing dengan niat memberi bantuan juga akan mendapat pahala dan termasuk dalam kategori amal kebajikan.

“Asasnya dalam agama Islam kita tidak ada larangan malah digalakkan kita buat baik kepada binatang termasuk menjaga anjing sakit, maknanya ia mendapat pahala juga.

“Zaman nabi dulu yang diceritakan dalam hadis, orang yang banyak dosa tiba-tiba dia nampak anjing haus lalu dia cabut sepatunya dan mengambil air dan beri minum kepada seekor anjing, maka malaikat mengampunkan dosa dia kerana perbuatan itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata apa yang membezakan pemikiran manusia adalah dari segi mazhab sahaja, melibatkan soal penyucian, kerana anjing tergolong dalam kumpulan najis berat.

“Setiap mazhab berbeza dari segi najis dan tidak najis, dalam setengah mazhab selain Syafi, hanya air liur dan najis sahaja dikategori sebagai najis berat, dan bahagian badan yang lain tidak najis. Tapi bagi mazhab Shafi, semuanya najis dan kalau tersentuh maka kena samak dan dibasuh 7 kali,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas segelintir umat Islam di Malaysia yang menyelamatkan dan memberi perlindungan kepada anjing.

Binatang itu rata-rata tidak didampingi umat Islam Malaysia yang rata-rata bermazhab Syafi.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang remaja Norashikin Ahmad yang menjaga kira-kira 150 ekor kucing dan 50 anjing terbiar di Melaka.

 

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=dcAemsRTRts[/embedyt]

 

Kisah menjaga anjing juga dikaitkan dengan arwah Md Azmi Ismail atau Pak Mi dan isterinya, Halija Idris, yang pernah mengundang cemuhan masyarakat sebelum ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata walaupun Islam menggalakkan umatnya berbuat baik kepada binatang, keutamaan perlu diberikan kepada kebajikan manusia.

“Dalam Islam, kita ada prioriti, maknanya manusia sebagai makhluk termulia kita kena utamakan manusia, kalau masih ramai manusia kelaparan dan susah kita kena utamakan bantu manusia, bukan haiwan. Tapi kalau manusia sudah mewah, tiada masalah kita nak berbakti kepada binatang,” katanya.

Pendapat Wan Salim disokong Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Menurutnya, Islam juga membolehkan anjing dipelihara bagi tujuan tertentu seperti kawalan keselamatan, pemburuan dan sebagainya.

Katanya sudah dijelaskan secara terperinci di dalam kitab mengenai hukum memelihara anjing, yang merangkumi peraturan serta pengendalian haiwan yang tergolong dalam kumpulan najis berat itu.

“Dalam mazhab Syafi pun, kita boleh memelihara anjing untuk kegunaan keselamatan, malah dia juga dibolehkan untuk tujuan memburu, menjaga rumah. Cuma soalnya, kalau terkena badan kita, kena basuh, samak, itu sahaja,” katanya.

Bagimanapun, Shukri menasihatkan umat Islam tidak mendekati anjing semata-mata untuk tujuan bersuka ria.

“Kalau semata-mata pelihara anjing untuk bersuka ria dengan tidak beri faedah sehingga perbelanjaan besar itu perlu dipertimbang,” katanya.

 

Sumber :
– www.freemalaysiatoday.com


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment