(Video) Maszlee mahu ubah sistem pendidikan berorientasi peperiksaan

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

KUALA LUMPUR: Dr Maszlee Malik, yang dinamakan sebagai Menteri Pendidikan dalam Kabinet baru Tun Dr Mahathir Mohamad, bertekad menambahbaik sistem pendidikan sedia ada yang dilihat cenderung berorientasikan peperiksaan.

Beliau juga mahu memastikan wujud sistem sokongan bagi memastikan sektor pendidikan negara ini mampu diangkat ke peringkat antarabangsa serta menjadikan rakyat lebih berdaya saing.

“Sistem pendidikan kita yang sedia ada perlukan penambahbaikan lagi. Sistem sebelum ini dikatakan terlalu berteraskan peperiksaan, agak ‘rigid’ dari segi regimentasinya.

“Sistem negara maju lebih ke hadapan, memandangkan mereka lebih mementingkan konsep pembentukan ‘character’, menghasilkan individu yang lebih berinovasi dan kreatif sebagai contoh,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI di sini, malam tadi.

Ujar ahli Parlimen Simpang Renggam itu, peluang pendidikan yang berkualiti di negara ini harus dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan kurang berkemampuan, baik di luar bandar mahu pun di dalam bandar.

Mengulas lanjut, Maszlee menjelaskan, Pakatan Harapan amat komited dalam melaksanakan segala yang dijanjikan melalui manifesto untuk sektor pendidikan.

“Kita ada beberapa janji dalam manifesto Buku Harapan, di mana kita mahu mewujudkan sistem sokongan seperti teaching assistant, mengecilkan kelas, meringankan beban guru dan sebagainya.

“Tetapi yang penting, kunci produktiviti dan inovasi guru, tenaga pendidik, tenaga akademik, ialah kebahagiaan.

“Untuk kita bawa sistem pendidikan kita ke era baru, yang mana pembelajaran dan pengajaran akan jadi menyeronokkan dan menggembirakan,” ujarnya lagi.

Dilahirkan di Johor Bahru, Maszlee, 44 tahun, merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan pernah berkhidmat untuk beberapa badan pemikir, termasuk IDEAS.

Beliau mengakui langsung tidak menjangkakan akan dinamakan sebagai ahli Jemaah Menteri yang baharu di bawah Dr Mahathir.

“Saya masih lagi terkejut kerana saya hanya tahu petang tadi, sewaktu membawa mak saya ke klinik… anak-anak yang beritahu, dan saya terima banyak panggilan telefon.

“Mungkin di pihak parti, Pakatan Harapan dan Tun sendiri, masing masing mempunyai keputusan dan kebijaksanaan tersendiri,” katanya yang lebih dikenali sebagai ahli akademik dan pendakwah.

Maszlee merupakan antara empat Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dinamakan dalam Kabinet baharu oleh Perdana Menteri pada Jumaat.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment