Makcik ini ditipu oleh perawat perubatan alternatif oleh eksperimen paracetamol

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Gambar di atas sekadar hiasan

 

MAKCIK NAK TANYA BOLEH ?

Pada suatu hari semasa saya bertugas di Klinik Kesihatan, semasa sesi kaunseling ubat dengan seorang pesakit diabetes, ada pertanyaan yang buat saya tersenyum dengan persoalan yang diberikan oleh seorang makcik…

Encik Dziehan, makcik hendak bertanya boleh ?

Boleh, apa salahnya…nak tanya berkaitan apa tu?

Berkaitan ubat…makcik dah jemu lah nak makan ubat ni dan makcik rasa dalam badan makcik ni dah ada banyak ubat sebab dah lebih lapan tahun makcik makan ubat kencing manis dan darah tinggi ni. Hari tu makcik pergi ke pusat rawatan terapi gelombang magnet dan elektrik kat Pekan…ramai orang macam makcik cuba terapi tu…tapi sebelum memulakan terapi percuma tu kena dengar ceramah daripada petugas mereka…

Hmmmm…ok, teruskan makcik

Petugas tu cakap, kita kalau makan ubat sudah bertahun lamanya, ubat tersebut akan berkumpul dalam tubuh kita…dia siap buat demo lagi Encik Dziehan…

Dia masukkan dua biji ubat demam dalam gelas dan keesokkan harinya dia tunjukkan kepada kami ubat itu masih ada dalam gelas tersebut tetapi dalam keadaan yang telah hancur dan mendap pada permukaan gelas…

(Kat sinilah saya sudah mula tersenyum kerana boleh agak apakah soalan yang akan diutarakan oleh makcik tersebut) Oooooo…teruskan makcik

MEREKA JUAL BARANG KER KAT TEMPAT TERAPI TU ?

Petugas itu kata beginilah yang berlaku dalam badan kita…bila lama makan ubat, ubat akan hancur dan terkumpul dalam badan kita, itu yang buat makcik risau dan makcik mengaku makcik makan ubat sekarang selang beberapa hari kerana macik takut ubat terkumpul banyak dalam badan makcik…

Soalannya, betul ke apa yang diperkatakan oleh mereka itu Encik Dziehan ?

(Sambil tersenyum)…Mereka jual barang ker kat tempat terapi tu makcik ?

Jual…mereka jual tilam terapi…Ubat-ubatan dia tak jual. Katanya lebih baik jauhi ubat yang akhirnya akan terkumpul dalam badan.

Gantikan ubat dengan terapi magnet dan elektik ini untuk rawat penyakit kencing manis dan darah tinggi. Katanya ada yang telah pulih dan yang rosak buah pinggang pun dah kembali normal semula…

Bagaimana tu Encik Dziehan? Jangan marah makcik yer sebab makan ubat selang-selang hari itu…

Eh, tak akan lah saya nak marah makcik…kan saya dah lama kenal makcik dan selalu borak-borak (kaunseling) dengan makcik pasal ubat…OK begini untuk jawab persoalan yang bermain-main di minda makcik tu…

MAKCIK OH MAKCIK…BEGINI SEBENARNYA…

Eksperimen yang petugas di pusat terapi tu tunjuk tidak habis sebenarnya makcik.

Eh, kenapa pula?

Sebab gelas yang dia guna tu tidak ada lubang di bawah gelas tersebut untuk mengeluarkan ubat yang telah hancur dan mendap di bawah gelas itu.

Hmmmmm…kenapa pula kena ada lubang pula Encik Dziehan. Itu gelas bocor namanya.

Betul gelas bocor namanya…petugas tu menggunakan gelas untuk memberi gambaran apakah yang berlaku dalam badan ubat yang kita makan. Tetapi kalau guna gelas yang tiada lubang salah tu.

Sebab apa pula Encik Dziehan ?

Sebab badan kita bukan sebiji macam gelas tu. Kalau badan kita macam gelas tu, bukan sahaja ubat akan terkumpul dan tidak keluar…minuman yang kita minum pun tidak akan keluar dan akhirnya kita akan menjadi kembung dan buncit…

Cuba bayangkan kalau gelas tersebut saya tambah dengan air…kalau tidak ada lubang dibawah gelas tersebut makan pasti akan melimpah air keluar daripada gelas itu…

Hmmmm…betul juga. Habis sebenarnya apa yang berlaku Encik Dziehan ?

Begini..kita tidak boleh samakan eksperimen gelas itu sama seperti apa yang berlaku dalam tubuh kita…dalam tubuh kita ini Allah S.W.T sudah cipta pelbagai jenis organ dan setiap organ akan mempunyai fungsi masing-masing…Oleh itu tubuh kita bukan satu bekas kosong macam gelas itu..

Ooooo…

EKSPERIMEN TU TAK LENGKAP !

Saya kata eksperimen itu tidak lengkap kerana gelas tersebut tiada lubang di bawahnya kerana saya hendak gambarkan satu situasi yang berlaku dalam tubuh yang kita panggil sebagai “PERKUMUHAN”.

Semua benda yang kita makan dan minum akan dikumuhkan keluar daripada tubuh kita ibarat gelas tersebut mempunyai satu lubang di bawahnya…

Apa kebenda perkumuhan itu Encik Dziehan?

(Sambil tersenyum)…Perkumuhan itu adalah proses membuang keluar bahan-bahan yang tidak diperlukan keluar daripada tubuh…agar benda-benda ini tidak terkumpul dalam tubuh kita.

Contohnya kita buang air kecil setiap hari kan makcik? Haaa itu satu contoh bagaimana badan kita membuang bahan-bahan yang tidak diperlukan keluar daripada tubuh kita.

Ooooo…makcik faham. Sebab itu Encik Dziehan kata gelas itu sepatutnya ada lubang di bawahnya kerana mesti ada bahan yang dikeluarkan daripada tubuh…macam kita buang air.

BEGINI PARACETAMOL BERFUNGSI

Yer…ubat pun begitulah makcik. Sebabkan petugas itu gunakan ubat demam maka saya juga akan bagi contoh perkara sebenar yang berlaku dalam tubuh berkaitan ubat demam paracetamol.

Bila kita makan ubat demam, suhu badan kita yang demam itu akan berkurangan dan kita dapat rasainya…betul tak makcik?

Yer betul…

Itu bermaksud, ubat paracetamol yang diserap masuk ke dalam tubuh di usus dan kemudiannya masuk ke dalam salur darah akan diproses (dimetabolismakan) di hati kita dan menghasilkan kesan (Kesan terapeutik) untuk menurunkan suhu badan…

Namun semua ubat bukan boleh berada kekal dalam tubuh, cukup tempoh masa ubat tersebut memberikan kesannya ia akan dikumuhkan keluar daripada tubuh. Untuk ubat paracetamol ia akan dikumuhkan melalui air kencing kita….

Oh ye ker….

Yer makcik…sebab itu kita kena makan lagi ubat demam paracetamol itu selepas enam jam…perasan tak suhu badan kita meningkat semula selepas lebih kurang enam jam kita makan ubat paracetamol itu…

Ini kerana ubat paracetamol boleh berada dalam tubuh badan kita lebih kurang 5-6 jam sebelum ia dikumuhkan melalui buah pinggang kita dan dibuang keluar melalui proses pembuangan air kecil. Sebab itu juga arahan untuk makan ubat paracetamol adalah setiap enam jam atau 4 kali dalam sehari.

OH…JADI EKSPERIMEN DARI PERUBATAN ALTERNATIF TU SALAH LAH ?

Oooo…sekarang makcik faham. So eksperimen itu salahlah yer? Rugi makcik tanya lewat kan Encik Dziehan pasal benda ini…bukan apa makcik takut kena marah.

Laaa…kami anggota kesihatan ini makcik prihatin dengan status kesihatan setiap pesakit yang menerima rawatan di klinik ini…maka jangan takut.

Bercerita dengan kami sebarang masalah berkaitan ubat-ubatan yang dialami agar kami tahu apakah tindakan terbaik untuk dilakukan agar rawatan yang paling sesuai dapat diberikan kepada setiap pesakit.

Hmmmm…terima kasih Encik Dziehan. Sekarang ini saya yakin dan nak makan ubat kencing manis saya semula setiap hati tanpa perlu risau ia akan berkumpul dalam tubuh saya seperti eksperimen salah itu…

SAYA QADAKAN SEMULA UBAT SAYA TU YE

Saya ‘Qada’kan dos ubat yang saya tertinggal tu yer En. Dziehan, rasa rugi pula tidak makan ubat.

Ehhhhhhhh….tidak perlu ‘Qada”kan dos yang dah tertinggal itu. Nanti terlebih dos. Tolong jangan buat macam tu makcik. Risau saya nanti makcik masuk hospital pulak sebab terlebih dos.

Makan ubat seperti biasa ikut arahan yang diberikan. Yang dah tertinggal itu lupakan sahaja. Ini bukan macam puasa makcik nak ‘Qada” kan yang tertinggal.

Ooooo…gitu. Ok makcik akan makan seperti biasa ikut arahan dan akan terus makan ubat setiap hari.

PENIAGA YANG TAK BERETIKA !

Begitulah kisahnya seorang makcik ini yang terpedaya dengan MITOS-MITOS yang dibuat oleh para peniaga yang tidak beretika.

Tujuannya hanya untuk melakukan produk jualan mereka dengan memberikan gambaran tidak betul terhadap rawatan ubat-ubatan yang diberikan oleh pihak Hospital dan Klinik Kesihatan.

Setiap ubat yang kita makan tidak berkumpul dalam tubuh kita. Cukup masa tindaknya, ubat tersebut akan dikumuhkan oleh organ dalam tubuh kita seperti buah pinggang. Tubuh kita pula akan buang keluar melalui air kencing kita. Oleh itu ubat tidak akan berkumpul dalam tubuh badan kita.

Walau bagaimanapun ada bahan yang boleh berkumpul lama dalam tubuh kita….sebagai contoh logam berat seperti Arsenik, Plumbum, Merkuri dan lain-lain. Bahan-bahan ini memang sukar dikumuhkan keluar daripada tubuh kita.

SEBAB TU ASAP ROKOK BOLEH TERKUMPUL DALAM BADAN KITA

Sebab itu amalan merokok yang terbukti asap rokok mengandungi kandungan arsenik dan plumbum akan terkumpul dalam tubuh sedikit demi sedikit sehingga ia boleh menyebabkan kesan buruk kepada tubuh badan kita.

Oleh itu, jangan takut untuk berbincang dengan ahli profesional kesihatan seperti Pegawai Farmasi, Doktor, Jururawat dan sebagainya.

Ceritakan masalah yang dialami terutama berkaitan pengambilan ubat di rumah atau apa-apa sahaja soalan yang bermain-man di minda agar mendapat penjelasan yang jelas oleh kami.

Ingat…komunikasi mesti dua hala. Elakkan untuk berdiam diri ketika bertemu profesional kesihatan yang merawat anda.

Jadikan kami RAKAN ANDA kerana kami prihatin terhadap status kesihatan para pesakit dan bukan menjual produk atau cuba mengaut sebarang keuntungan.

Status kencing manis makcik ini terkawal semula dan dapat dilihat semasa rawatan susulan beliau pada bulan berikutnya.

Alhamdulillah makcik ini berkongsi pengalaman serta berceritakan kepada saya MITOS yang dipercayai olehnya sebelum ini.

MITOS DITEGAH, SIHAT KEMBALI, JAUHI KOMPLIKASI.

Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa RPh: 4282)
Medical Mythbuster Malaysia-M3


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment