Lokasi tak strategik punca penutupan KR1M, kata menteri

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

KUALA LUMPUR: Lokasi tidak strategik dan saiz kedai yang besar punca kos operasi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) meningkat sehingga menyebabkan beberapa kedai itu terpaksa ditutup, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu berkata, perkara itu dibangkitkan dalam perbincangan kementeriannya bersama pengusaha KR1M.

“Ini semua telah kita bincang dan apabila perbincangan ini dibuat setahun yang sudah, mereka tak mampu lagi.

“Di kawasan pedalaman, sudah 8 (kedai) mereka tutup kerana kos terlampau tinggi.

“Pertama, mereka katakan lokasi KR1M yang tak strategik di luar bandar jauh ke pedalaman, kosnya terlalu tinggi. Ini yang menyebabkan mereka agak tertekan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menjalin kerjasama dengan syarikat besar melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Strategi kita adalah untuk bincangkan perkara ini bukan hanya dengan 1 atau 2 operator, tapi yang kita lakukan untuk bergabung dengan ‘blue ocean strategy’ bersama banyak syarikat besar seperti indistri kecil dan sederhana (IKS) serta syarikat multinasional.

“Semua ini kita lakukan untuk mengurangkan kos barang dipasarkan dalam negara,” katanya.

Jumaat lalu, perdana menteri ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan sebagai permulaan, 50 KR1M akan distruktur semula menjadi KR1M 2.0 mulai 2018, sebelum diperluaskan kepada 3,000 kedai dalam tempoh 3 tahun.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, KR1M 2.0 akan menyediakan 5 barang keperluan asas pada harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan gas LPG, selain 50 jenis barangan pengguna berjenama yang akan dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran.

KR1M yang diilhamkan Najib, dirasmikan pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha IKS tempatan.

Pada 29 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menamatkan kontrak pengendali KR1M yang didapati menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran.

Pengendali KR1M, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) selepas itu mendakwa syarikat berkenaan mengalami kerugian besar ketika mengendalikan KR1M yang merupakan projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, projek itu diteruskan juga demi manfaat rakyat, walaupun banyak yang diperkatakan mengenai kegagalan operasi KR1M.

 

Sumber :
www.freemalaysiatoday.com


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment