‘Lanun Bugis’ ciptaan penjajah, kata sejarawan

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Pakar sejarah Tan Sri Prof Khoo Kay Kim mengkritik mereka yang menyifatkan Bugis sebagai “lanun”, sambil berkata golongan tersebut buta sejarah. Bercakap kepada FMT, Khoo menyifatkan gelaran itu sebagai “pembohongan” itu bermula pada abad ke-18 oleh pegawai British di Tanah Melayu.

Menurutnya, cerita direka mengenai lanun bagi menjustifikasi penguasaan British di Tanah Melayu.

“Mereka memerlukan alasan untuk diberi kepada kerajaan British. Dengan mengatakan raja-raja Melayu adalah lanun, ia lebih mudah bagi mereka untuk campur tangan.

“Kerajaan British akan menghentikan tindakan tersebut jika mereka tahu cerita lanun adalah satu pembohongan.”

“Lanun Bugis” kini kerap disebut dalam ceramah politik pembangkang, yang menyasarkannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menyifatkan dirinya mempunyai semangat perjuangan Bugis.

Baru-baru ini, penggunaan istilah itu oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengundang kecaman daripada ahli masyarakat berketurunan Bugis, termasuk Sultan Selangor yang menuntut bekas perdana menteri itu disiasat di bawah Akta Hasutan.

Dr Mahathir bagaimanapun menjelaskan beliau tidak bermaksud menyerang orang Bugis keseluruhannya.

“Saya tidak pernah kata orang Bugis semuanya lanun. Yang saya kata ialah Najib mungkin berasal dari lanun Bugis,” katanya.

Khoo bagaimanapun berkata Bugis tidak boleh dianggap sebagai lanun yang merompak.

“Kawasan sekitar Selat Melaka dan Laut China Selatan adalah sebahagian jajahan kerajaan Tanah Melayu dan jika ada kapal masuk ke rantau ini dan tidak membayar tol, maka pemerintah mempunyai hak untuk menyerang kapal itu.”

Bugis berpindah ke Tanah Melayu dari Sulawesi sekitar abad ke-17.

“Mereka adalah pedagang berjaya dan juga pejuang yang handal. Jadi mereka berjaya mengawal semenanjung Tanah Melayu.”

Khoo berkata Bugis menaiki takhta kesultanan di Selangor secara sah pada pandangan tradisi Melayu.

“Dalam tradisi Melayu, seseorang hanya boleh dipanggil sultan jika dia mempunyai daulat.

“Ketika Bugis menguasai Selangor pada 1745, pemerintah tidak menggunakan gelaran sultan. Baginda hanya digelar Raja Lumu.

“Tetapi pada 1766, Raja Lumu berlayar ke sebuah tempat bernama Kota Lumut (bukan Lumut sekarang) di Perak, dan di sana baginda diangkat sebagai sultan oleh Sultan Perak, Sultan Mahmud dan kemudian baginda menggunakan gelaran Sultan Salehuddin Shah.”

Bugis dan Melayu

Menurut Persatuan Melayu Bugis Selangor (PMBS), budaya Bugis dan Melayu saling berkaitan kerana hubungan yang panjang antara satu sama lain.

Mohamad Romazi Nordin yang mengetuai unit kebudayaan PMBS berkata salah satu faktor yang boleh membawa kepada penggabungan kedua-dua budaya itu adalah melalui perkahwinan.

Katanya, perkahwinan antara 2 etnik ini berlaku walaupun semasa era Kesultanan Melaka.

“Perkahwinan antara orang Bugis dan Melayu sudah mengikat tali persaudaraan dan kekerabatan dan mewujudkan satu hubungan yang saling berkait atau faktor persaudaraan,” katanya yang juga setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Selangor.

Bagaimanapun, Romazi berkata kedua-dua budaya tidak banyak beza pada permulaannya kerana orang Melayu dan Bugis hidup dalam persekitaran yang sama.

Beliau berkata kedua-dua etnik itu menghasil dan memakan makanan yang sama, selain menikmati jenis muzik dan pantang larang yang sama.

“Ada persamaan dari segi pantang larang, makanan dan juga muzik.

“Kita Bugis juga ada kepercayaan yang sama dengan Melayu, contohnya kepercayaan tidak boleh memotong kuku pada waktu malam kerana percaya ia mengundang perkara yang buruk,” katanya.

 

Sumber :
– www.freemalaysiatoday.com


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment