‘Kita bodoh kerana menafikan realiti’

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Tidak seperti anggapan sesetengah pemimpin BN Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengakui mereka kalah kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) baru-baru ini bukan kerana isu persepsi, tetapi realiti.

Kata anggota parlimen pembangkang dari Rembau itu BN “bodoh” kerana menafikan hakikat itu.

Katanya BN menafikan isu 1MDB – yang menjadi antara topik utama HARAPAN berkempen – serta skandal lain.

“Kita kata tak ada, sudah dijawab. Kita menipu diri sendiri sampai hari terakhir,” katanya dalam temu bual disiarkan akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Sebelum itu Khairy ditanya sama ada kekalahan BN berpunca daripada kegagalan parti tersebut menguruskan persepsi.

Katanya BN tidak boleh lagi bercakap mengenai persepsi kerana sebelum muncul isu itu, mesti ada suatu realiti yang terjadi.

“Persepsi itu dibentuk oleh realiti. Realiti sudah ada. Cuma kita bodoh kerana menafikannya selama ini,” katanya.

BN kecundang buat kali pertama dalam sejarah selepas gagal mendapat kerusi mencukupi di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan melalui pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

HARAPAN memperoleh 122 kerusi parlimen manakala BN hanya 79. Satu blok lagi yang diterajui PAS hanya mendapat 18 kerusi. Selebihnya adalah wakil bebas.

Di peringkat dewan undangan negeri (DUN) pula BN hanya berkuasa di Perlis dan Pahang, manakala PAS menguasai Kelantan dan Terengganu.

Penolakan besar-besaran itu sangat mengejutkan malah presiden MCA, MIC dan Gerakan – antara parti yang membentuk BN – juga kalah di kerusi masing-masing.

Sementara itu Khairy juga berkata Umno perlu melakukan perubahan besar-besaran untuk membolehkan ia kekal relevan kepada rakyat.

Katanya kekalahan mereka pada PRU lalu bukan sekadar kerana penolakan masyarakat kepada pemimpin malah terhadap parti itu sendiri.

Menurutnya Umno perlu mengakui mereka gagal membaca kehendak rakyat di sebalik amalan budaya feudal, hidup mewah, angkuh, sombong serta tidak berani bersuara terhadap pemimpin sehingga akhirnya parti melakukan kesilapan yang besar.

“Walak itu, walaklah, tetapi dalam keadaan kami semua tidak dapat membaca sentimen sebenar rakyat. Itu kita kena mengaku,” katanya.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment