Kes maut dalam tangki diesel : Awang baik dengan semua ibu bapa saudaranya

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

KUALA TERENGGANU – “Awang mempunyai hubungan baik dengan kesemua ibu bapa saudaranya dan sambutan hari raya Aidilfitri lepas adalah kali terakhir kami bertemu dengannya,” kata Zahani Yahya, 56, ibu saudara kepada Allahyarham Zamri Adenan, 35, yang maut dalam tangki diesel akibat letupan, di kilang simen di Rawang.

Zahani berkata, kejadian yang menimpa Zamri atau mesra dipanggil Awang mengejutkan keluarga di sini apatah lagi dia sentiasa kelihatan ceria dan tidak terlepas menziarahi semua ahli keluarganya ketika pulang ke kampung selain tidak menunjukkan sebarang perubahan luar biasa.

Zahani menjelaskan, perkhabaran mengenai kejadian menimpa Zamri diketahui melalui adiknya, Rohaya, 48, yang sentiasa berhubungan dan mendapat maklumat terkini daripada keluarga arwah.

“Saya mendapat maklumat daripada Rohaya dan tidak sangka kejadian tersebut menimpa anak saudara sendiri sebab sebelum ini tidak pernah mendengar kejadian letupan di kilang tersebut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau Haji Daud, di sini, hari ini.

Menurut Zahani lagi, Zamri yang bekerja di kilang tersebut kira-kira setahun lalu merupakan satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik dan turut meninggalkan isteri, Nadia Musa serta empat orang anak berusia empat hingga 10 tahun.

Zahani berkata, abang sulungnya yang juga bapa Zamri, Adenan Yahya, 64, yang tinggal di kampung sama bersama dengan tiga adik-beradik Zamri kesemuanya bergegas ke Rawang setelah mendapat maklumat mengenai perkhabaran tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang 3 November lalu, Zamri bersama dua lagi mangsa iaitu Mohd Ziehafizan Abd Rahman, 28 dan Baskaran Thanakodi, 49, dilaporkan terjatuh dalam tangki minyak diesel ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di kilang simen, di Jalan Kuang, Rawang.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dan mayat Zamri adalah yang kedua ditemukan kira-kira 4.30 petang semalam.

 


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment