Kes cedera penceramah wanita : PU Faiz dilepas tanpa bebas

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini melepaskan tanpa membebaskan naib juara program Pencetus Ummah (PU) musim kedua Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli daripada pertuduhan mencederakan seorang penceramah wanita pada September tahun lepas.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Mohd Hezri Shaharil yang mewakili Ahmad Faiz Hafizuddin yang lebih dikenali sebagai PU Faiz supaya anak guamnya dilepaskan tanpa dibebaskan berikutan laporan perubatan penceramah wanita itu masih belum
siap.

Datin Fadzlin Suraya berkata PU Faiz boleh dituduh semula pada bila-bila masa sekiranya laporan perubatan itu siap.

Pada prosiding lepas, peguam itu telah membuat permohonan itu namun mahkamah menolaknya dan menetapkan tarikh hari ini untuk penyerahan dokuman laporan perubatan itu.

“Anak guam saya telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan tanpa gagal menghadirkan diri pada setiap tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah,” kata peguam itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy memberitahu mahkamah bahawa laporan penuh perubatan penceramah wanita itu masih belum disiapkan Jabatan Rekod Perubatan, Hospital Sungai Buloh.

Pada 7 Nov tahun lepas, PU Faiz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Nurul Intan Sakinah Azmi, 29, disebabkan kemarahan di pondok Rumi Sufi Jawi, Seksyen 8/4, Seksyen 8, Kota Damansara pada 2.30 petang, 26 Sept 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, mahkamah turut melepaskan tanpa membebaskan Nurul Intan Sakinah daripada pertuduhan menceroboh pusat tahfiz itu sehingga laporan perubatannya lengkap.

Pada 8 Nov tahun lepas, Nurul Intan yang merupakan ibu tunggal empat anak, dituduh melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki premis milik PU Faiz yang digunakan sebagai tempat pusat pengajian agama Islam di pondok Rumi Sufi Jawi di Seksyen 8/4, Seksyen 8, Kota Damansara pada 2.30 petang, 26 Sept 2016.

Wanita itu, yang diwakili peguam Siti Nadiah Skh Saad, didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Sumber :
– http://www.malaysiakini.com/hiburan/374814


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment