Kedekut punca muka cantik Anzalna naik jerawat

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Menyedari kemunculannya dalam drama Dendam Aurora menjadi perhatian umum, tidak mustahil ramai yang perasan bahawa pelakon Anzalna Nasir, 29, mengalami masalah kulit muka yang serius.

Berkata kepada Utusan Online, Anzalna mengakui, sikap kedekutnya mengundang padah apabila kurang menitikberatkan soal penjagaan kulit apabila wajah mulusnya ditumbuhi jerawat batu.

“Lebih teruk ketika pulang dari London, United Kingdom pada April lalu. Ketika itu saiz jerawat yang tumbuh besar-besar. Bertambah malang, ketika itu saya memulakan penggambaran drama Dendam Aurora.

“Oleh sebab jadual yang padat, masalah kulit muka semakin teruk dan serius. Jika penonton perasan, dalam episod awal drama tersebut, jelas kelihatan jerawat yang timbul.

“Memang saya tertekan melihat keadaan tersebut. Jadi saya mula mendapatkan nasihat doktor pakar kulit untuk membuat rawatan,” katanya.

Tidak mahu mengulangi masalah sama, timbul idea untuk menghasilkan produk sendiri bagi mengatasi permasalahan yang sering dihadapinya tatkala mengenakan solekan ke atas wajahnya.

Dulu katanya, dia hanya membeli produk kosmetik bernilai bawah RM50 untuk menjaga kecantikan kulit wajah selain mengamalkan pemakanan sihat.

“Namun usaha tersebut tidak berhasil. Disebabkan itu saya memikirkan cara lain untuk mencegah daripada berlakunya masalah jerawat yang ketara.

“Bersama-sama rakan baik saya iaitu Adila Ramly dan Alia Ramly yang juga produser Global Station Sdn. Bhd., kami berkongsi modal selaku rakan niaga mengeluarkan produk penyembur muka yang diberi nama Bye Bye Zits.

“Produk ini mencegah pembiakan bakteria yang menyebabkan masalah jerawat. Malah selamat digunakan kerana bebas bahan kimia berbahaya. Disebabkan terlalu selamat, cecair yang terdapat dalam produk tersebut boleh diminum begitu sahaja.

“Saya dan Alia sendiri yang menjadi testimoni kepada produk ini. Alhamdulillah, sekarang tiada lagi masalah jerawat baharu cuma tinggal parut sahaja,” katanya usai majlis pelancaran yang diadakan di Empire Medispa, M-City Ampang, di sini hari ini.

Menurut Anzalna, Bye Bye Zits boleh dibeli secara terus di premis Empire Medispa atau stokis yang menjualnya dengan harga RM69.90 sebotol.

– Utusan Online


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment