“Kaki tempang sebab bomoh ? Maaflah saya taknak sentuh” – Doktor Pakar Tulang

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

ANGKARA SI TUKANG URUT

Bertalu-talu soalan menerpa saat saya memuatnaik status tweeter saya berkenaan kepatahan tulang yang dirawat tukang urut tradisional. Seorang wanita Melayu berusia lewat 60-an ditolak masuk ke bilik konsultasi saya semalam oleh anak wanita beliau. Wajah wanita itu sugul memandang ke lantai.

“Assalamualaikum Makcik. Makcik apa kabar?”

“Makcik jatuh motor 3 bulan lepas. Kemudian Makcik pergi hospital, Doktor nak operate kaki makcik ni nak masuk besi. Makcik tak mahu la sebab makcik ada kencing manis. Kalau ada kencing manis nanti luka payah nak baik.”

“Lepas tu?”

“Lepas tu makcik pergi berubat kampung. Ada orang bagitau makcik, ada Bomoh tulang terer kat Jengka. Makcik pergi la. Dia urut peha makcik, MASUKKAN BALIK tulang makcik yang patah ni.”

“Habis tu sekarang macamana kaki makcik? Dah baik?” Saya bertanya ringkas walaupun aku sedia maklum jawapan yang bakal saya dengar. Ini bukan kes pertama & pastinya bukannya yang terakhir.

“Dah tak sakit dah tapi lutut makcik ni dah tak boleh lurus habis. Lipat pun sikit je boleh.”

Gambar hiasan : xray tulang peha yang bercantum senget dan pendek (koleksi saya)

Katanya sambil cuba melipat sendi lutut. Hanya boleh bengkok dalam 30 darjah sahaja (normal 0-135 darjah). Mata beliau memandang ke lantai. Langsung tidak mahu memandang ke arahku.

Saya langsung tidak terkejut. Ya, Doktor tidak terkejut. Banyak testimoni suka sebut ‘Doktor pun terkejut’. Kami tak pernah terkejut pun. Kami biasanya berlakon dan buat-buat terkejut sebab kesian dekat pesakit dan nak bina rapport dengan pesakit. Dalam hati kami ni, kami kasihan dengan pesakit yang ditipu hidup-hidup.

“Okey Makcik. Patah makcik ni dah bercantum dah ni. Cuma tulang ni bercantum senget macam ni,” kataku sambil menunjukkan ke x ray tulang peha (femur) makcik.

“Apa yang tukang urut cakap tu langsung tak betul makcik. Tak ada apa pun yang MASUK! Sebab TAK ADA APA PUN YANG BOLEH DIMASUKKAN. TULANG SENGET, BENGKOK & PENDEK.”

Kelihatan tulang baharu yang tumbuh memenuhi tempat yang patah dan kepatahan yang bercantum dengan menyenget & pendek.

“Makcik nak saya buat macamana sekarang?”

“Doktor boleh betulkan?” Anak wanita itu mencelah. Saya hanya tersenyum memandang beliau.

“Apa kata kita mintak tukang urut patah tu yang betulkan?”

“Dah bengkok dan pendek kaki makcik ni, Makcik tak nak saman ke tukang urut tu?

Pertanyaan-pertanyaan itu hanya berlegar di dalam mindaku yang waras. Ikutkan hati ni saja saya luahkan. Namun, tidak mungkin saya suarakan kepada pesakit atau waris yang menemani. Jika disebut, tidak mustahil namaku viral nanti.

 

Tuan-tuan, terdapat kepatahan yang mustahil dapat dibetulkan oleh tukang urut tradisional atau bomoh tulang. Antara kepatahan tersebut adalah:

1. Kepatahan tulang peha (femur). Implan perlu dimasukkan bagi memastikan kepatahan bercantum dengan betul (melainkan bagi kanak-kanak berusia di bawah 3 tahun). Tarikan otot peha yang kuat akan menghalang hujung tulang yang patah diletakkan dengan tepat tanpa menggunakan implan. Apatah lagi jika dibalut dengan daun dan disengka dengan buluh dan kayu sahaja.

2. Kepatahan yang melibatkan permukaan sendi (intra-articular fracture) termasuk buku lali, pergelangan tangan, pinggul, lutut, siku dan sebagainya. Ini memerlukan permukaan sendi diletakkan dengan tepat dan sekata (tidak lebih 2mm step) antara setiap tulang yang patah. Step off melebihi 2mm pada permukaan sendi antara fragment tulang akan menyebabkan sendi pesakit mengalami Osteoarthritis. Pada fikiran tuan-tuan yang bijaksana, Bomoh tulang boleh ukur tak 2mm pakai mata kasar melalui kulit ibu atau anak tuan-tuan?

3. Kepatahan tulang radius & ulna (forearm) antara sendi siku & pergelangan tangan. Kepatahan tulang ini jika tidak dimasukkan implan akan menyebabkan pergerakan tangan terbatas (limited pronation, supination).

TETAP BERCANTUM APABILA TIBA MASANYA

Tuan-tuan, setiap tulang yang patah, jika dibiarkan, ia akan tetap bercantum apabila tiba masanya. Tulang baharu akan mula terbentuk dalam 6-8 minggu (3-4 minggu bagi kanak-kanak) dan bercantum sepenuhnya selepas 3-4 bulan. Tidak kira anda berjumpa doktor, tukang urut, bomoh tulang, tabib cina, hanya duduk di rumah atau bertapa di gua, ia akan TETAP bercantum. Persoalannya, adakah ia akan bercantum dengan mengikut anatomi yang betul atau tidak?

Kepatahan yang bercantum senget dan pendek boleh dibetulkan semua namun kami perlu patahkan kembali dan betulkan kedudukan serta pegang dengan menggunakan implan (besi) samada plate atau nail. Ada ketikanya kami perlu gunakan teknik khas iaitu Ilizarov bagi membetulkan kebengkokkan dan memanjangkan kembali kaki yang pendek tersebut.

 

BOLEH DIBETULKAN BALIK, TAPI RISIKONYA…

Pembedahan pembetulan (Corrective Surgery) bagi membetulkan tulang yang senget atau pendek boleh dilakukan namun ia lebih sukar kerana anatomi yang sudah berbeza, pendarahan yang banyak boleh berlaku, risiko jangkitan kuman serta kecederaan pada struktur berhampiran seperti saraf dan salur darah.

Walaupun hasil daripada pembedahan ini agak bagus, namun ada ketikanya tidak dapat mencapai tahap normal.

“Kenapa tak boleh bengkok habis ni Doktor?”

“Kenapa terjadi jangkitan kuman ni doktor?”

“Kenapa masih pendek ni doktor?”

Walaupun segala penjelasan telah diberitahu kepada pesakit dan keluarga pesakit, apabila komplikasi berlaku, saya telah lihat pesakit yang meletakkan kesalahan kepada doktor yang telah membantu mereka. Malah ada doktor yang disaman. Disaman kerana membantu pesakit. Tukang urut yang membengkok & memendekkan kaki tidak pula disalahkan atau disaman. Ironi bukan?

Namun itulah sebenarnya yang ingin kami pakar-pakar Ortopedik ni luahkan buat masyarakat kita yang amat suka pergi berurut bila mengalami kepatahan. Masyarakat kita terlalu percayakan perubatan Tradisional.

Terlalu banyak cerita & testimoni yang menakutkan masyarakat mengenai rawatan di hospital selain daripada TESTIMONI kehebatan cerita kayangan perubatan alternatif.

Ramai yang suka tularkan pelbagai masalah di hospital & klinik selama ini sehinggakan mengikis kepercayaan masyakarat terhadap institusi kesihatan kita. Ramai yang kini percayakan bomoh, tukang urut, bomoh patah & pelbagai makanan tambahan yang keberkesanannya tidak pun dibuktikan secara kajian saintifik. Malah golongan PROFESSIONAL MUDA pun lebih percayakan TESTIMONI.

Namun, tidak tular pula nama-nama tukang urut patah yang sudah berjaya membengkokkan kaki dan tangan pesakit ni, mereka selalu terlepas. Kenapa tidak disaman pula mereka?

GESA SETIAP DOKTOR DAN NURSE BERI TESTIMONI GAGAL UNTUK RAWATAN TRADISIONAL, AMACAM ?

Saya menggesa setiap seorang doktor, jururawat dan petugas perubatan memberi TESTIMONI kegagalan, kebengkokkan & kependekkan kaki, malah kematian akibat perubatan tradisional ini. Mari kita sama-sama tularkan mereka agar masyarakat kita tahu bahana akibat terlalu percayakan mereka. Masyarakat mahu TESTIMONI, kita berikan TESTIMONI.

Sudah-sudah la percaya kepada tukang urut tulang patah tu. Mereka tidak bertanggungjawab jika kepatahan anda senget. Nak tengok keadaan tulang patah yang mereka urut pun anda disuruh ke hospital untuk xray. Kalau dah dikatakan Pakar urut tulang patah, tak payah la ke hospital. Kan, Pakar!

 

Kredit :
– Mahyuddin Mohamed (Pakar Tulang Patah Hospital) Lokasi Sultan Haji Ahmad Shah Hospital, Temerloh Pahang.


#BahanaBomohPatah
#MedicalMythbustersMalaysia

#MedTweetMY
#MalaysianMedicalGazette


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment