Kain kafan mak tak koyak walau dikebumi tahun 2002

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

“JENAZAH wanita itu disemadikan pada 2002 dan terdapat kesempurnaan pada jasadnya.” Itu kata Penyelia Tanah Perkuburan Johor Bahru, Yackub Sakak, mengulas mengenai viral jenazah wanita masih sempurna ketika dikebumikan semula pada 13 November lalu.

Dia berkata, pihaknya menerima permohonan anak untuk memindahkan jenazah arwah ibu mereka dari tanah Perkuburan Pendas Laut ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Tampoi.

“Kebetulan kawasan tanah perkuburan sedia ada terbabit dengan projek pembangunan dan lebih 100 tanah perkuburan di kawasan itu dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah.

“Keluarga juga meminta dan berhajat mahu jenazah itu dipindahkan dekat kubur bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Tampoi,” katanya dihubungi, semalam.

Menurutnya, keadaan jenazah terbabit sempurna.

“Apa yang dikongsikan (keluarga) itu baik dan tidak ada masalahnya.

“Ketika diangkat keluar keadaannya (jenazah) sempurna dan melalui proses tersusun seperti jenazah lain,” katanya tidak menolak Allahyarham adalah seorang yang baik.

Katanya, bagi antara 10 hingga 15 tahun kematian dengan keadaan rangka masih ada bukan perkara pelik, melainkan sekiranya usia jenazah itu sudah melebihi 100 tahun.

Menyentuh mengenai proses perpindahan jenazah, katanya, prosesnya membabitkan permohonan kepada pejabat agama.

“Pejabat agama pula akan menghantar permohonan pemindahan kepada jabatan mufti untuk keluarkan fatwa.

“Sekiranya layak dan diharuskan untuk perpindahan, waris akan dimaklumkan melalui laporan media serta penyebaran melalui keratan akhbar,” katanya.

Katanya, Setiausaha Kerajaan Johor akan menerima laporan empat agensi termasuk Polis, Pejabat Daerah, Kementerian Kesihatan dan Pejabat Agama Daerah bagi mendapatkan ulasan atau siasatan.

Mengenai proses pengalihan tanah perkuburan itu, katanya, pemohon perlu mendapatkan kebenaran jabatan agama untuk memilih mereka mahir dan pakar dalam proses pemindahan.

“Sebagai menenuhi syarat, pakar akan membantu masyarakat dan waris mengadakan doa selamat sebelum proses pemindahan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, wanita berkongsi di Facebook mengenai keadaan arwah ibunya yang masih sempurna biarpun sudah 12 tahun dikebumikan.

“Dia wanita yang lembut, tidak suka mengata dan mencerca orang lain,” demikian luahan Amina Jasmine berkongsi mengenai keadaan jenazah ibunya yang masih berkeadaan baik.

“Mak (arwah) sangat mudah mengalirkan air mata, hatinya bak tisu mudah terkoyak, setiap cerca org mak balas dengan senyuman dan air mata dan dengan suami mak bersabar,” katanya berkongsi detik indah itu.

Katanya, tempoh 12 tahun arwah ibunya disemadikan, namun keadaan jenazahnya masih dalam keadaan qiam.

“Kain kafan mak tak koyak, bantal dan tali masih ada, susuk badan mak jelas di pandangan mata kami yang menyaksikan tadi, cukup sifat dan tak berbau Allahuakhbar.

“Siapa sangka dalam kepadatan tanah perkuburan Bukit Alip (Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Tampoi), mak dapat dikebumikan sebelah kubur arwah ayah, maha suci Allah,” katanya.

Amina dalam status FB mengakui tindakannya berkongsi mengenai kejadian itu sebagai perkongsian untuk dijadikan iktibar.

“Selepas 12 tahun mak pergi, Allah beri aku ‘sesuatu’’ tentang hidup ni, hati ini, keinsafan ini.

“Maaf andai perkongsian ini menjadi kalian tidak selesa, tetapi jadikanlah ia sebagai iktibar dan ingatan supaya kita terus berusaha membaiki hati dan amal kita, maaf dari saya insan yang jahil,” katanya.

Berkongsi maklumat, katanya, pemindahan kubur arwah ibunya dilakukan berikutan tanah perkuburan berkenaan diambil bagi projek pembangunan.

“Semua jenazah dipindahkan ke tanah perkuburan mengikut kehendak waris, wallahualam,” katanya.

Sementara itu, pemerhatian mendapati terdapat lapan gambar dikongsikan Amina Jasmine mengenai proses pengkebumian semula jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Tampoi.

Ia termasuk beberapa keping gambar jenazah yang dipindahkan semula ke tanah perkuburan itu dengan disaksikan anggota keluarga.

Ramai netizen yang melihat gambar itu hanya mengucapkan ‘Subhanallah’.

 

Kredit :
– https://www.hmetro.com.my


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment