Jejaka Jepun kagum gadis bertudung tengah panas terik, tak panaskah ?

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

SHAH ALAM, 7 Feb — Hampir enam bulan berada di Malaysia, seorang pelajar Jepun akui tertawan dengan sikap peramah gadis Melayu, selain memiliki mata bundar yang menarik. Masih menyesuaikan dengan iklim di sini, Masaya Ono, 21, turut kagum wanita Islam mampu bertudung meski dalam cuaca panas seterik negara ini.

“Saya suka tengok mereka. Mata bulat, sangat peramah. Saya sudah biasa tengok gadis mata sepet [di Jepun]. Di sini fesyen tudung juga pelbagai. Tetapi apa yang lebih saya kagum apabila melihat mereka mampu bertudung dalam cuaca sebegini. Tidak panaskah?”

“Saya yang berpakaian tidak tebal ini pun sudah rasa sangat panas,” kata mahasiswa Universiti Bunkyo Gakuin, seorang peserta pertukaran pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada ProjekMMO.

Anak bongsu, daripada dua beradik, dari Kanagawa itu juga mengakui amat selesa dengan budaya di Malaysia sehingga ingin kembali selepas tamat pengajiannya di sana tahun depan.

“Julai ini saya akan tamat belajar [di Malaysia] dan habiskan belajar [di Jepun] sehingga tahun depan. Saya amat berminat untuk mencari kerja di Malaysia. Saya mahu berhijrah ke negara orang untuk pengalaman yang berharga. Di Malaysia juga tenang. Saya suka tinggal di sini,” kata pelajar ijazah kajian budaya dan antarabangsa itu.

“Apabila ada peluang ke Malaysia, saya tidak mahu bekerja dengan orang Jepun di negara ini. Saya mahu luaskan pengalaman, saya ingin bekerja dengan orang Malaysia.”

Selain gadis Malaysia, Masaya jatuh cinta pada makanan negara ini. Baginya, Malaysia ini “syurga makanan” khususnya jenis berempah yang tidak ditemui di negaranya.

“Apabila teringat Malaysia, hanya satu dalam fikiran saya, syurga makanan. Negara berbilang kaum dengan makanan yang enak. Saya suka makan pedas-pedas seperti sambal ayam. Saya juga suka ke kedai mamak makan nasi bersama kuah kari banjir.

“Di sini, setiap makanan digoreng dan dimasak dengan rempah. Di Jepun, kami selalunya panggang dan makan mentah. Tiada rempah,” katanya.

Masaya juga berkongsi pengalamannya mengikuti beberapa program lawatan anjuran UiTM ke Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur.

“Orang kampung di Grik sangat teruja melayan saya tetapi saya kurang faham bahasa mereka kerana loghat yang pekat. Saya dapat rasa suasana kampung. Saya tidak kisah digigit nyamuk tetapi terkejut juga apabila tandas berada di luar rumah,” katanya.

 

Sumber :
– themalaymailonline.com


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment