Ini syarat Majlis Fatwa kalau mahu hadir majlis Krismas

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

PETALING JAYA: Sebuah garis panduan disediakan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam lebih sedekad lalu kepada umat Islam yang mahu menghadiri majlis sambutan Krismas melarang bukan sahaja pelbagai simbol agama Kristian, tetapi juga hiasan yang selama ini tidak boleh dipisahkan dengan sambutan Krismas di seluruh dunia.

Ini termasuk pokok Krismas, lilin, loceng, malah pakaian berwarna merah yang melambangkan Santa Claus – watak pra-Kristian yang menjadi antara hiburan terutama kepada kanak-kanak dalam mana-mana perayaan Krismas.

Garis panduan itu merupakan hasil muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-68, dan diterbitkan semula oleh pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin dalam laman Facebook beliau baru-baru ini.

“Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam,” menurut fatwa yang dicapai selepas mesyuarat pada April 2005.

Ia turut melarang umat Islam menghadiri sambutan Krismas sekiranya majlis itu mempunyai lagu bercirikan agama, simbol Kristian seperti salib dan juga sebarang ucapan “berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam”.

Selain daripada itu, penggunaan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja dan pokok Krismas merupakan antara perkara yang menjadikan majlis itu tidak boleh dikunjungi umat Islam, menurut kenyataan jawatankuasa fatwa itu.

Ia juga berkata majlis Krismas itu tidak boleh disertakan dengan perkara yang “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

“Maksud ‘menyentuh sensitiviti masyarakat Islam’ ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka,” menurut kenyataan itu lagi.

Penyertaan umat Islam dalam majlis perayaan kebesaran bukan Islam sering menjadi isu di Malaysia, menyebabkan agamawan memberikan tafsiran dan dalil mempertahankan pelbagai pandangan setiap kali sambutan seperti Krismas dan Deepavali diadakan.

Sumber :
– www.freemalaysiatoday.com


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment