“Hadi bukan pemimpin yang layak, akta Islam hanya dari lelaki mulia” – Zaid Ibrahim

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim menganggap Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan pemimpin Islam yang layak mengusulkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

“Hadi bukan pemimpin Islam yang layak melaksanakan undang-undang Islam. Untuk melaksanakan undang-undang Islam, seseorang itu mesti menjadi seorang lelaki mulia dan berintegriti. Malangnya, kita tidak mempunyai pemimpin seperti itu.”

Zaid berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 200 orang yang menghadiri himpunan balas anjuran sekumpulan aktivis dikenali sebagai Bebas. Perhimpunan itu diadakan untuk membantah RUU 355 yang dibawakan Hadi untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Zaid yang menyertai DAP minggu lalu berkata, Mahkamah Syariah di negara ini terlebih dahulu perlu memastikan kecekapan dalam sistem sedia ada sebelum memutuskan untuk meningkatkan hukuman.

Beliau berkata, ada banyak kelemahan dalam sistem Mahkamah Syariah ketika ini.

“Berapa ramai pendakwa raya yang mereka ada? 2 atau 3?

“Bagaimana jika orang ditangkap? Siapa yang akan menjalankan siasatan? Sudah tentu bukan polis kerana mereka terikat di bawah akta kepolisan.

“Jadi beritahu saya, adakah Mahkamah Syariah mempunyai sistem sesuai?”

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Hadi. Pada 24 November lalu, presiden PAS itu meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

“Saya juga mahu mengingatkan ahli Parlimen beragama Islam, jika anda benar-benar seorang umat Islam, berjuanglah demi keadilan.”

Beliau berkata, niat PAS melaksanakan RUU 355 semata-mata demi kepentingan politik kerana parti Islam itu sudah kehilangan populariti di Kelantan.

“Ini politik. Beliau (Hadi) perlu menyelamatkan kerusi DUN. Tetapi, beliau akan kalah dan saya boleh menjaminnya,” kata Zaid.

Beliau turut memuji peserta bukan Islam yang menghadiri himpunan balas itu dan menggesa mereka menolak ahli Parlimen yang menyokong RUU 355 dicadangkan PAS.

“Saya gembira orang bukan Islam mengambil berat terhadap isu ini kerana ini adalah negara kita,” katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh peserta.

“Rakyat perlu memastikan mereka menolak mana-mana ahli Parlimen yang menyokong RUU ini. Cukuplah untuk perkara karut ini.

“Jika ahli Parlimen takut kehilangan undi, lakukan perkara yang betul.”

 

Sumber :
– www.freemalaysiatoday.com


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment