Gaji Malaysia tak naik kerana pekerja tak mahir, tak produktif – Institut Strategi Asia

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

KUALA LUMPUR: Sebab utama gaji genang kerana produktiviti pekerja tidak menyamai waktu bekerja, kata sebuah badan pemikir. Dalam wawancara bersama FMT, Ketua Pegawai Operasi Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) Ng Yeen Seen berkata gaji di Malaysia tidak berubah selama bertahun-tahun.

Jelasnya gaji tertahan kerana kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah.

Kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah, yang memberi manfaat kepada pemilik perniagaan disamping menekan paras gaji, menyebabkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan golongan berpendapatan rendah semakin meluas.

Menurut beliau, keadaan itu akan menyebabkan masalah sosial lain seperti kadar pengangguran yang lebih tinggi.

Skala gaji yang bergenang, katanya, juga akan menyebabkan ramai orang tidak mampu hidup di kota raya, dan tidak mampu menabung untuk persaraan.

YANG MAHIR HANYA BAZIRKAN MASA MAIN FACEBOOK

Menurut statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kira-kira 89% pekerja berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

Bagi menyelesaikan masalah gaji genang, Yeen Seen berkata gaji perlu meningkat tetapi peningkatan hanya boleh berlaku sekiranya produktiviti bertambah.

“Pekerja tempatan yang berkemahiran mudah terseleweng. Banyak sangat sesi ‘teh tarik’ atau ‘melepak’.

“Kemudian banyak bazirkan masa menonton YouTube dan main Facebook.

“Semua itu sangat tak produktif.”

Yeen Seen berkata perkara sedemikian tidak berlaku di negara maju, seperti Australia dan United Kingdom. Beliau pernah bekerja di 2 negara itu.

“Di UK, walaupun diberi tempoh 1 jam untuk makan tengah hari, pekerja di pejabat saya tak pernah cukupkan masa itu sepenuhnya. Kami ambil sandwic dan kopi, dan dalam masa 20 minit, kami kembali ke meja masing-masing.”

Bagaimanapun, Yeen Seen berkata sektor korporat tempatan juga tidak menghargai bakat dengan sewajarnya.

“Sesetengah syarikat menjaga kebajikan pekerja tetapi banyak juga yang mengambil mudah pekerja berkemahiran. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Pekerja perlu tunjukkan kemampuan dan majikan perlu beri ganjaran dan menghargai mereka.”

Yeen Seen menjelaskan apabila produktiviti rendah, lebih banyak pendapatan syarikat digunakan untuk syarikat dan bukan kepada pekerja. Menurut beliau, keadaan itu berbeza di negara maju, di mana syarikat memberi ganjaran berdasarkan produktiviti.

“Kos menurun apabila produktiviti ditingkatkan. Dalam jangka masa panjang, lebih baik mengambil pekerja mahir, yang lebih mahal dari segi gaji, daripada pekerja bergaji rendah tetapi kurang mahir dan tidak produktif.”

Yeen Seen berkata meritokrasi merupakan kunci produktiviti dan menarik pekerja berbakat.

“Setiap organisasi mesti menjelaskan bahawa orang diberi ganjaran untuk kerja yang baik dan bukan untuk bangsa, agama atau siapa mereka. Produktiviti akan menyusul apabila kamu mengamalkan meritokrasi.”

 

Sumber :
– freemalaysiatoday


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment