Duta Korea Utara terpaksa berhimpit kelas ekonomi selepas diusir dari Malaysia

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Duta Korea Utara ke Malaysia terpaksa duduk berhimpit dalam penerbangan kelas ekonomi selepas diusir. Kang Chol kelihatan duduk bersama penumpang lain pesawat Malaysia Airlines semalam selepas diisytihar “persona non grata”, atau “individu tidak dihargai”, oleh kerajaan Malaysia.

Foto-foto diplomat itu di kelas ekonomi dan tiketnya dilaporkan oleh portal popular di sini Daily Mail hari ini.

Petang semalam, Kang Chol tiba di lapangan terbang KLIA dengan kenderaan kedutaan dan diiringi empat kereta polis peronda pada kira-kira 4.40 petang.

Sebuah kenderaan dengan plat kedutaan Korea Utara membawa bagasi dan barang kargo miliknya berlabel DPRK Pyongyang, lapor Bernama.

Kakitangan kedutaan turut dilihat membuat daftar masuk untuk Kang Chol dan keluarganya di kaunter penerbangan ke Beijing yang dijadual pada 6.25 petang.

Dalam perjalanan selama enam jam ke China, foto Daily Mail menunjukkan beliau duduk bersebelahan kanak-kanak.

Akhbar Britain itu menulis tajuk “Sekurang-kurangnya tidak kena hukuman tembak”, merujuk nasib Jang Yong-chol, bekas duta Korea Utara ke Malaysia, yang dikenakan hukuman mati pada awal 2014.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara kini semakin tegang susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, pertengahan bulan lalu.

Sebagai membalas tindakan Malaysia mengusir Kang Chol, Korea Utara mengisytiharkan duta Malaysia di Pyongyang sebagai “persona non grata”.

Tidak cukup dengan itu, Korea Utara juga menghalang warga Malaysia meninggalkan negara itu.

Sebagai reaksi balas, Kuala Lumpur melarang warga Korea Utara berlepas ke luar negara.

 

Sumber :
– www.suara.tv


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment