Durian, rumah premium sekadar mampu tengok

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

HUJUNG minggu lalu saya balik ke kampung menziarah emak dan ayah. Setibanya di kawasan Kampung Gajah, Perak, beberapa kilometer dari rumah ayah saya, bau durian mula meresap ke dalam kereta. Mana tidaknya, di kiri dan kanan jalan raya penuh peniaga raja buah itu. Suasananya macam pesta dengan deretan kereta dan kumpulan motosikal berkuasa tinggi.

Saya pun ambil kesempatan menyertainya, bukan mahu membeli tetapi cuma meninjau harga. Bergantung kepada gred, sekilogram dijual sehingga RM12.

Ramai merungut mahal, tetapi wang dan durian bertukar tangan juga. Musim kali ini, ayah saya tak bernasib baik, pokok duriannya tiada yang berbuah.

Tetapi saya berpeluang juga merasa keenakan durian kampung kerana esoknya awal pagi lagi seorang adik emak saya menelefon menjemput datang ke dusunnya. Sambil menjamah durian dihidangkan, saya bertanyakan hasil dusunnya musim ini.

“Alhamdulillah. Rezeki lebih sikit,” kata bapa saudara saya itu.

“Kalau kira semua termasuk yang disedekahkan adalah dekat RM100,000,” tambahnya.

Jelasnya, musim kali ini peraih beli ikut timbangan, berbanding biasanya kira biji. “Kali ini sekilogram RM7. Dulu paling tinggi pun RM3 sebiji. Itu pun buah besar,” katanya. Dusun bapa saudara saya itu seluas empat hektar.

Saya tanya dia kenapa musim ini harga tiba-tiba melambung? “Mungkin buah kurang sebab banyak pokok dah kena tebang ganti dengan sawit. Pokok yang ada pulak banyak melawas sebab banjir,” jawabnya.

“Tapi mahal pun orang beli juga,” katanya sambil menunjukkan longgokan sekitar 100 biji durian yang sudah ditempah pembeli beberapa hari sebelumnya. “Cerita pasal Musang King yang melonjakkan harganya sampai RM70 hingga RM80 sekilogram juga mungkin menyebabkan ramai sekarang ini tak kisah membayar RM12 sekilogram untuk durian kampung ni,” tambahnya.

Durian dan rumah memang sama sekali berbeza. Tetapi kini sudah ada persamaan, iaitu trend harga yang menjadikan kedua-duanya bagi kebanyakan kita sesuatu yang cuma ‘mampu tengok’. Seperti durian, harga rumah yang melambung juga berpunca daripada semakin ramai bersedia membayar pada harga tinggi.

Sama seperti durian yang sudah ada ‘jenama’ premium seperti Musang King, Udang Merah dan Raja Kunyit, pemaju perumahan juga didapati berlumba-lumba menjenamakan projek mereka bagi menjadikannya kelihatan premium sekaligus mewajarkan ia dijual pada harga tinggi walaupun saiz dan kualitinya tidak jauh beza dengan projek lain.

Sebagai sebuah negara pasaran terbuka, mungkin tidak wajar bagi kerajaan mengawal tindakan sedemikian, justeru terpulang kepada kita sebagai pembeli untuk menghentikannya.

Jika dirasakan harga ditawarkan tidak munasabah, jangan beli kerana apabila tiada pembeli maka pemaju terpaksa menghentikan penawaran projek sedemikian sebaliknya beralih kepada jenis yang ada permintaan tinggi.

 

Kredit :
Saidon Idris (Penulis adalah Penulis Khas Kanan Ekonomi & Ehwal Semasa)


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment