‘Betui ka nyamuk gigit ni?’

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

BAYI perempuan berusia 10 bulan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini selepas lebam di pipi disyaki didera ketika berada di rumah pengasuhnya di Kuala Kedah.

Bayi malang itu dikatakan baru hari pertama dihantar ke rumah pengasuh oleh ibunya yang berusia 31 tahun semalam selepas mengenali pengasuh terbabit melalui aplikasi WeChat.

Menurut ibunya yang enggan dikenali, dia menghantar anak bongsu daripada dua beradik itu pada 11 pagi semalam kerana bekerja sebagai peniaga sebelum datang semula untuk mengambil bayinya itu pada 9.30 malam.

Bagaimanapun, katanya, ketika menjemput anaknya di rumah pengasuh terbabit, keadaan rumah gelap dan lampu samar-samar.

Katanya, pengasuh anaknya hanya memberitahu yang bayi itu digigit nyamuk dan berkemungkinan alergik menyebabkan dia menyapu losyen pada seluruh badannya termasuk pipi mangsa.

“Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa walaupun anak saya nampak seperti takut ketika saya hendak mendukungnya dan keadaannya tidak ceria seperti selalu.

“Saya terus masuk ke dalam kereta untuk pulang ke rumah. Bagaimanapun, saya hanya menyedari ada kesan lebam pada pipi anak saya sebaik tiba di rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia yang tidak berpuas hati dengan keadaan anaknya kemudian membawa bayi itu ke klinik swasta berhampiran rumahnya untuk melakukan pemeriksaan.

Namun, dia terkejut apabila doktor memaklumkan yang anaknya bukan alergik, tetapi berkemungkinan besar dipercayai akibat didera berikutan kesan lebam pada bahagian pipi kiri dan kanan.

“Hari ini, saya pergi semula ke rumah pengasuh untuk bertanyakan mengenai kejadian menimpa anak saya, namun wanita itu tetap memberi alasan sama iaitu anak saya digigit nyamuk.

“Disebabkan tidak berpuas hati, saya membuat laporan di Balai Polis Langgar pagi tadi sebelum membawa anak ke HSB untuk mendapat rawatan susulan,” katanya.

Menurutnya, anaknya terpaksa dimasukkan ke wad kanak-kanak HSB disebabkan mangsa mengalami masalah pendengaran dan perlu menjalani rawatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa dan siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat tangkapan terhadap seorang wanita disyaki pengasuh bayi berkenaan berusia 40-an untuk membantu siasatan.

“Suspek akan direman pagi esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

 

Sumber :
– https://www.hmetro.com.my/utama/2018/08/367351/betui-ka-nyamuk-gigit-ni


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment