Bekas Setiausaha MISDC didakwa pecah amanah RM4.58 juta

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

MELAKA – Bekas Setiausaha  Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDC), Zamrud Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 42 pertuduhan pecah amanah melibatkan RM4.58 juta antara tahun 2014 dan 2015.

Zamrud, 76, menghadapi  lima pertuduhan melakukan pecah amanah ke atas peruntukan MISDC  ketika memegang jawatan setiausaha  pusat itu dengan memasukkan peruntukan berjumlah RM4.3 juta ke dalam akaun milik syarikat MISDEC Resources Sdn Bhd.

Tertuduh juga menghadapi 37 pertuduhan pecah amanah ke atas peruntukan pusat itu dengan membuat pembayaran RM286,136.68 untuk pelbagai sebab antaranya yuran penubuhan syarikat MISDEC Resources Sdn Bhd, deposit sewa rumah kedai, perlindungan insurans, ubah suai restoran, pembelian perkakasan  dapur restoran, pemasangan pendingin hawa  dan pendawaian elektrik.

Anak tertuduh  Hazizul Zamrud, 44, yang bertugas sebagai Pengarah Unit Pentadbiran MISDC turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas 42 pertuduhan bersubahat atas jenayah yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat MISDC , Lorong 1, Jalan PBB 6, Taman  Perindustrian Batu Berendam di sini antara 19 Mac 2014 hingga 2 Jun 2015  mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan Zamrud menghidap asma dan sakit jantung, manakala Hazizul menanggung isteri dan dua anak masih kecil, selain mereka sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

Hakim Norma Ismail membenarkan ikat jamin RM250,000 bagi setiap tertuduh serta mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Sumber :
– http://www.sinarharian.com.my


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment