Bahaya berhenti merokok secara mengejut, kata pakar

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

PETALING JAYA: Tindakan berhenti merokok secara mengejut boleh mengundang bahaya, khasnya bagi perokok berusia dan mempunyai masalah kesihatan, kata bekas presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

“Ia bergantung kepada individu. Ia mungkin lebih baik untuk sesetengah orang berhenti merokok, tetapi bagi yang lain, khasnya mereka yang sudah tua dan mempunyai masalah kesihatan, ia mungkin lebih baik berhenti merokok secara perlahan-lahan.

“Jika ia adalah bahan kimia yang menyebabkan mereka ketagih, maka akan ada simptomnya dan jika seseorang itu mempunyai masalah kesihatan, kesan berhenti merokok boleh menjejaskan keadaan kesihatan sedia ada,” kata Dr H Krishna Kumar kepada FMT.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan perokok yang mempunyai masalah kesihatan bertanya doktor sama ada selamat untuk mereka membuang tabiat itu secara mengejut atau akan memburukkan lagi keadaan mereka.

AYAH TIBA-TIBA HIDAP IMSOMNIA SELEPAS BERHENTI MEROKOK SECARA MENGEJUT

Penduduk Shah Alam, Mohamad Shazlan Ghazali memberitahu FMT pengalaman bapanya berhenti merokok secara tiba-tiba selepas diserang strok.

“Bapa saya pernah merokok sekurang-kurangnya 2 pek sehari. Disebabkan beliau ialah perokok tegar, doktor mencadangkan berhenti merokok perlahan-lahan, tetapi beliau degil dan terus berhenti merokok secara mengejut.

“Saya lihat bagaimana beliau menderita. Beliau menghidap insomnia, tidak boleh makan, tidak boleh berehat, tambahan beliau sering muntah darah.”

Shazlan berkata, doktor menasihatkan bapanya yang tindakan berhenti merokok secara mengejut akan membuatkan beliau terdedah kepada virus kerana baru diserang strok.

“Tetapi, entah bagaimana saya gembira ayah saya berhenti merokok secara tiba-tiba kerana selepas tempoh penderitaan itu, beliau kini lebih sihat dan kuat.”

Dr Krishna berkata, bapa Shazlan bernasib baik kerana sesuatu yang lebih buruk mungkin berlaku.

“Jika beliau baru diserang strok, anda tidak mahu beliau berhenti merokok secara mengejut kerana jika keinginan merokoknya menimbulkan keresahan, maka tahap darahnya boleh naik semula dan ia bermakna peluangnya diserang strok lebih tinggi.”

Presiden MMA, Dr John Chew bagaimanapun tidak pernah mendengar sebarang kesan mampu mengancam nyawa akibat berhenti merokok secara tiba-tiba.

Katanya, peluang berjaya membuang tabiat itu lebih tinggi dengan penggunaan nikotin gantian.

“Kadar kejayaan di kalangan mereka yang berhenti merokok secara mengejut ialah 20%. Kadar untuk mereka yang berhenti dengan nikotin gantian meningkat kepada 30%.

“Tetapi, ramai bergantung kepada tekad sendiri dan juga sokongan keluarga serta rakan.

Beliau berkata, ketagihan nikotin “sangat kuat” dan gejala berhenti merokok termasuk perubahan emosi, panas baran, kebimbangan dan kemurungan.

Allan Foo yang merupakan pengasas Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta) berkata, beliau pernah merokok 3 pek sehari, tetapi vape membantu beliau mengurangkan tabiat itu tidak lebih 1 pek sehari.

“Ramai pelanggan menggunakan vaporizer untuk membantu mereka berhenti merokok.”

Ia mengambil masa kira-kira 2 minggu untuk menjauhkan diri daripada rokok dan 2 bulan untuk membuang keinginan terhadap nikotin.

“Vape membantu kerana anda boleh mengurangkan pengambilan nikotin perlahan-lahan.”

Cecair vape mengandungi tahap nikotin 12mg, 9mg, 6mg, 3mg dan 0mg. Rokok yang dijual di negara ini biasanya mengandungi 12mg nikotin sebatang.

Bagaimanapun, beliau tidak percaya tindakan berhenti merokok secara mengejut boleh mendatangkan bahaya.

“Saya rasa apa yang anda perlu hadapi adalah simptom akibat berhenti merokok. Vape membantu mengurangkan gejala itu.”

 

Sumber :
– freemalaysiatoday.com


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment