Azmin Sedia Serah Parlimen Gombak Kepada Tun M


Loading...

PETALING JAYA: Datuk Seri Azmin Ali berkata beliau bersedia untuk menawarkan kerusi Parlimen Gombak yang disandangnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya umum akan datang, sekiranya PKR bersetuju.

“Saya bersedia memberi laluan kepada Tun @chedetofficial di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh PKR. Mari membingkai muafakat demi rakyat,” katanya dalam satu posting di Twitter, malam Sabtu.

Ahad lalu, pemimpin Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika parti itu memenangi pilihan raya akan datang.

Gabungan itu juga akan memohon pengampunan diraja untuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Hizwan Ahmad mengakui berasa janggal apabila Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri.

“PKR Selangor berasa amat janggal untuk mengakui bahawa setelah begitu panjang tempoh perjuangan kita, parti ini tidak mampu untuk mengangkat seorang tokoh sendiri. Golongan milenium mahu melihat seorang tokoh segar dan kaya dengan buah fikiran yang berpandangan jauh.

“Sedang kami menghormati keputusan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, izinkan juga kami menyatakan pendirian berbeza. Biarlah ia terakam dalam lipatan sejarah suatu hari nanti,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.

Pada Disember tahun lepas, Dr Mahathir menyatakan bahawa dia mungkin bertanding di Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

“Ramai orang beritahu saya bahawa saya mempunyai peluang yang cerah untuk menang, jadi bersedia untuk itu,” kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

Sumber :
– www.mstar.com.my


Loading...

Related Posts

Add Comment