Apa yang saya buat ini bukan nak menunjuk-nunjuk…

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

Seorang pengembara yang gemar melakukan aktiviti ekstrem ketika menjelajah mempunyai cara yang tersendiri supaya mintanya itu memberi manfaat kepada dirinya dan orang lain.

Sheikh Lokman Shazly Azlanii Zaharin, 46, yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti memanjat gunung, menyelam di dasar laut dan udara mengambil kesempatan untuk beribadah dan menyampaikan dakwah apabila menyulami aktiviti lasaknya dengan mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran.

Lebih menarik, dakwah uniknya ini sudah dilaksanakannya di sepenjang pengembaraan merentasi 30 buah negara antaranya Thailand, Sri Lanka, Jepun, Filipinan, China, Taiwan, Korea Selatan, India, Greece dan United Kingdom.

Ujarnya, dia mula mengamal aktiviti kembara sambil berdakwah ini sejak berusia 18 tahun ketika mengikuti kumpulan tabligh melakukan ziarah menyebarkan syiar Islam ke India dan Pakistan.

“Sejak di bangku sekolah menengah lagi saya suka mengembara dan melakukan aktiviti lasak. Misalnya semasa tingkatan tiga saya menjelajah seluruh Kelantan dengan basikal saja dan pada usia 16 tahun saya sudah berjaya menawan puncak Gunung Tahan, Pahang.

“Selepas tamat tingkatan lima, berbekalkan bantuan kewangan dan dorongan ahli keluarga, buat kali pertamanya saya melakukan pengembaraan ke India dan Pakistan bersama sekumpulan jemaah tabligh selama empat bulan sebelum akhirnya menyambung pengajian di sebuah madrasah di Pakistan selepas itu.

“Sepanjang pengembaraan itu, saya menggunakan masa terluang dalam kereta api sambil membaca dan menghafal al-Quran serta pernah membaca sepuluh juzuk al-Quran dalam solat sunat dalam kereta api yang bergerak 30 jam,” katanya.

Bermula dari saat itulah dia belajar mengembara secara solo selain turut mencatatkan rekod peribadi khatam al-Quran dalam perjalannya dari Kuala Lumpur ke Turki pada 2014 dan Kuala Lumpur ke Afrika Selatan pada 2 tahun lalu.

“Menjelajah dunia melihat keindahan tempat orang sambil membaca al-Quran adalah impian saya sejak dulu lagi kerana saya percaya kata ilmuan apabila kita membaca sambil mengembara, insya-Allah muka bumi, lautan dan langit tempat kita perdengarkan ayat suci itu akan mendoakan kita dan menjadi saksi di akhirat nanti.

“Jika boleh, saya mahu mengembara seberapa banyak negara dengan sasaran 100 negara dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Selain itu, sepanjang penjelajahan saya tidak akan lepaskan peluang memanjat gunung, diving (menyelam di dasar laut) dan paragliding (luncur udara),” katanya lagi.

Sheikh Lokman juga memberitahu bahawa pengembaraan solo itu banyak memberi pengalaman baru kepada dirinya malah turut menjadi duta kecil dalam menyampaikan kebenaran Islam kepada orang bukan Islam di sepanjang persinggahannya di tempat orang.

“Saya buat begini (mengembara sambil beramal) bukan mahu diiktiraf mahupun menunjuk-nunjuk, tetapi menggambarkan bahawa Islam itu mudah dan tidak jumud.

“Kadang-kadang saya berkenalan dengan rakan bukan Islam yang bertanya pasal Islam dan peluang itu saya gunakan bagi menerangkan serba sedikit apa yang termampu.

“Saya juga banyak mempelajari bahasa asing, selain penguasaan bahasa Inggeris saya juga fasih berbahasa Arab, Urdu dan Poshto yang bagi saya banyak membantu sepanjang pengembaraan serta menimbulkan kemesraan apabila boleh bertutur dalam bahasa mereka,” kata Sheikh Lokman.

Kata bapa kepada lapan anak ini lagi, dia mengembara dua bulan kali sama ada secara solo atau berkumpulan dengan disertai oleh rakan dan keluarga.

“Biasanya saya akan mengembara secara solo ala backpacker kerana kosnya lebih murah dan mudah untuk bergerak. Saya juga melakukan rujukan terlebih dulu sebelum mengunjungi negara yang hendak dilawati bagi memudahkan perjalanan,” katanya yang juga pengasas kepada Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia.

“Susulan itu, pada 2013 saya mewujudkan Program al-Quran Bergerak dalam usaha memperkenalkan kalam Allah itu di merata dunia dan sejak itu membuka peluang kepada keluarga, kenalan dan pelajar mengikuti pengembaraan saya.

“Saya harap pengalaman saya ini akan membakar semangat orang lain terutama keluarga dan pelajar saya supaya ada visi sama,” katanya yang akan memulakan misi pengembaraan terbaru ke negara Asia Tengah dan Rusia pada Mac depan.

Sumber :
– https://www.hmetro.com.my/
– http://www.siakapkeli.my


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
   
Tags:

Related Posts

Add Comment