Aduh… Yuran tadika macam nak masuk U!

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

MAHALNYA… tapi nak buat macam mana, nak tak nak memang kena bayarlah,” keluhan begini acap kali diungkapkan setiap awal tahun.

Ibu bapa akan mengeluh melihat yuran tadika anak mereka yang perlu dibayar sekurang-kurangnya RM1,000 atau hampir-hampir RM2,000.

Jika seorang anak, perkara itu mungkin boleh dikatakan sebagai ‘pejam mata’ namun bagaimana kalau dua, tiga atau empat anak untuk belajar di tadika?

Berapa pula kos keseluruhannya?

Yuran mahal ini biasanya terjadi kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke tadika swasta. Mengapa tadika swasta menjadi pilihan, sedangkan ada tadika kemas yang disediakan dengan tanpa apa-apa yuran.

Mengapa agaknya ibu bapa sanggup berhabis duit untuk anak-anak yang masih kecil, iaitu bermula usia tiga hingga enam tahun?

Apakah faktor yang menyebabkan mereka reda untuk membayar yuran yang begitu tinggi.

Ada yang mengatakan, yuran mahal ini bergantung kepada sejauh mana populariti tadika tersebut.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui berkata, pemilihan tadika swasta pada hari ini sudah menjadi keperluan bukan lagi pilihan.

Bagi Azmi Nasir, 37, dua anaknya dihantar ke tadika swasta yang berkonsepkan Islamik kerana pendekatan yang digunakan.

“Kalau nak kata memilih tu tidaklah. Tetapi, tadika swasta ini pendekatannya lebih dekat dengan alam persekolahan nanti.

“Dua-dua anak saya dihantar ke tadika sejak usia lima tahun. Saya akui, memang perlu memperuntukkan sejumlah wang agak besar setiap hujung tahun.

“Saya berusaha untuk lunaskan yuran kerana saya melihat perkembangan anak-anak saya di mana dalam pembelajaran dan juga disiplin,” katanya kepada Sinar Online.

Katanya, yuran itu tidak termasuk bayaran lain seperti hari sukan, lawatan dan hari anugerah.

“Itu kena bayar lain. Sudahlah bulan-bulan saya bayar hampir RM300, nanti ada tambahan lagi.

“Sudahlah yuran mahal, ditambah dengan bayaran lain membuatkan kita ibu bapa ni terpaksa ikat perut,” ujarnya.

Biarpun mengakui, tadika swasta membantu anak-anaknya hingga boleh solat dengan baik dengan pendekatan berbeza yang ditunjukkan di tadika, namun yuran mahal tetap memberi tekanan kepada ibu bapa.

“Buat masa sekarang, seorang anak saya yang tadika, kakaknya dah sekolah rendah, nanti lima tahun lagi adiknya pula.

“Kalau yuran semakin tinggi, saya tak tahu nak cakap macam mana. Saya sangat berharap, perkara ini dapat perhatian daripada pihak berwajib dan memantau setiap pergerakan tadika-tadika swasta,” katanya yang mengakui silibus yang digunakan sangat berkesan pada anaknya.

Pendapat sama turut disuarakan Aminah Abdullah, 35, apabila tadika Kemas yang berdekatan rumahnya penuh.

“Saya ada cuba nak hantar, tapi dah penuh tapi alasan utama mereka adalah kerana gaji saya agak tinggi.

“Tadika Kemas meletakkan syarat-syarat tertentu, jadi nak buat macam mana, terpaksalah membayar yuran tinggi setiap tahun,” katanya yang mula menghantar anaknya ke tadika sejak usia empat tahun.

Katanya, memilih tadika swasta adalah kerana di situ juga disediakan pusat jagaan harian selepas tamat sesi pembelajaran.

“Saya tak payah lagi nak fikir transit dan sebagainya. Tadika swasta ni ada buat, jadi bayar sajalah.

“Tadika kemas tak sedia perkhidmatan itu. Kalaulah yuran itu dapat dikurangkan, lebih baik memandangkan zaman sekarang semua benda naik harga,” katanya.

Bagi Aminah Abdullah, 35, yang menghantar anaknya ke tadika juga bersetuju jika pihak berwajib dapat memantau yuran yang dikenakan.

“Saya faham, mereka ni ada persatuan, jadi kalau persatuan kata tak boleh lebih sekian-sekian harga, kenalah kita ikut.

“Saya setuju bila cakap tadika swasta bukan lagi pilihan tapi keperluan. Betul, pendekatan pembelajaran yang dilakukan amat efektif untuk anak-anak, cuma kita bukan orang kaya nak bayar mahal-mahal sangat,” katanya.

Katanya, perkara ini perlu diperhalusi memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.

“Saya dan suami perlu sediakan RM1,500 untuk pendaftaran tadika anak kami.

“Dengan yuran yang agak tinggi, ia sedikit memberi bebanan, namun apabila memikirkan pendekatan yang digunakan tadika terbabit, saya jadi tidak kisah pula. Cara pembelajaran mereka lain sari tadika lain. Banyak simulasi yang digunakan, contoh mengenali pokok pisang, bukan hanya melihat gambar, malah sebatang pokok pisang dibawa dalam kelas.

“Dari situ anak-anak ini akan merasai sendiri bagaimana rupa dan boleh menyentuhnya,” katanya.

Begitu juga Wani Mehat, 33 yang memperuntukkan RM1000 untuk yuran tadika anaknya.

“Tadika yang saya hantar tu bukan popular seperti yang selalu kita dengar. Tapi… yuran pun boleh tahan juga ye, mahalnya.

“Walaupun gaji saya tak besar mana, tapi saya tak dapat nak daftarkan anak saya ke tadika Kemas. Nak tak nak, kenalah hantar ke tadika swasta,” katanya.

Namun katanya, pemilihannya ke tadika swasta adalah kerana disediakan pusat jagaan harian.

“Saya bekerja, tadika dekat rumah, bukan pejabat. Jadi, saya tak boleh nak ambil anak saya bila habis waktu.

“Mujur mereka sediakan perkhidmatan ini, jadi mudahlah saya dan suami. Saya perasan ada kenaikan harga yuran.

“Kalau tak silap, hampir RM100 tambahan dari tahun lepas. Apa yang dimaklumkan, buku dan silibus pembelajaran yang menjadikan yuran mahal,” katanya.

Sebagai ibu bapa, mereka tidak ada pilihan lain namun berharap yuran tadika seharusnya tidaklah terlalu mahal.

Bagi Aishah Mohamad, 34, melihat kendiri anaknya sejak dihantar pada usia empat tahun, dia nekad untuk terus menghantar anaknya.

“Tahun ini anak saya lima tahun. Saya risau juga pada mulanya hantar dia ke tadika. Saya memang memilih tadika swasta berkonsepkan Islamik dengan bahasa utamanya Bahasa Inggeris.

“Yuran mahal tu memang tak dapat dinafikan… apa yang boleh kami buat? Nak yang terbaik kena bayar lebih la kan,” katanya.

Biarpun sedikit tertekan, namun sebagai ibu bapa tidak ada apa yang mampu dilakukan.

“Kalau ada pihak yang sudi nak bawa hal ini ke tengah, kami ibu bapa tumpang berbangga dan bersyukur.

“Iyelah, anak tadika tapi yuran macam nak masuk asrama penuh sekolah menengah,” katanya.

Anak saya Kemas, pandai nyanyi-nyanyi

Di sebalik keseronokan ibu bapa menghantar anak ke tadika swasta, masih ramai ibu bapa yang meneruskan kesinambungan mereka ketika kecil iaitu ke tadika Kemas.

Bagi Zila Wahi, 32, tiga daripada empat anak-anaknya dihantar ke tadika Kemas.

Mengakui faktor utamanya adalah kewangan yang tidak mengizinkan, Zila berkata, setakat ini anak-anaknya pandai menyanyi dan berdoa.

“Di tadika Kemas, memang tak ada pembelajaran khusus untuk mereka. Saya ada hadir taklimat ibu bapa sejak tiga tahun lalu.

“Bukan niat saya nak mengkritik atau apa, tetapi pegawai yang memberi taklimat itu seolah-olah membaca skrip kerana setiap bait ayatnya sudah saya hafal sejak tiga tahun lalu.

“Katanya, anak-anak pada usia lima tahun belum masanya untuk belajar, biarkan mereka bermain dahulu,” katanya.

Ujarnya, tadika Kemas juga tidak mempunyai ujian dan apabila anak sulungnya perlu mendududuki ujian ketika darjah 1, anaknya tidak tahu.

“Macam saya cakaplah, kerana faktor kewangan, saya tak mampu nak hantar anak ke tadika swasta. Saya bukan nak memperlekehkan tadika Kemas, tetapi sudah tiba masanya, silibus pembelajaran diubah.

“Saya faham… anak-anak tak ada yuran, cuma ibu bapa boleh menyumbang RM10 setiap bulan, sama ada nak bayar atau tak, terpulang,” katanya.

Katanya, melihat perkembangan anak-anaknya, anak keduanya baru boleh membaca pada usia lewat enam tahun.

“Di tadika tak ditekankan sangat mengenai pembelajaran. Saya lihat sudah tiba masanya pengajaran dan pembelajaran di tadika kemas dipertingkatkan.

“Tak perlu lagi menyanyi, doa dan bermain. Berilah anak-anak ini ilmu pada peringkat awal, kerana masuk darjah 1, kalau tak boleh membaca, kena masuk kelas peralihan,” jelasnya.

Perkara sama turut diakui L Amuthadevi, 29, yang mengakui anaknya fasih menyanyi lagu daripada membaca.

“Setiap malam, saya akan latih anak saya mengeja dan membaca. Kalau nak harap pada tadika Kemas sahaja, memang anak saya tak boleh membaca lagi.

“Siapa tak suka, yuran tak ada, tapi, kenalah ada perubahan, sampai bila nak macam ni, dunia pendidikan dah semakin maju, takkan Kemas nak sama macam saya kecil-kecil dulu?” katanya.

Sementara itu, pengasas Tadika Dzul Iman Smart Khalifah Centre, Badariah Ismail berkata, yuran tahunan tadika adalah bergantung kepada buku dan silibus yang digunakan.

“Sebahagian besar yuran yang dibayar semasa pendaftaran digunakan untuk buku-buku dan baju anak.

“Ini antara sebab yang menjadikan kos pendaftaran tadika mencecah RM1,000 dan ke atas,” ujarnya.

Beliau berkata, kenaikan harga itu tidak dapat dinafikan dan berkata, yuran bulanan yang dikatakan tinggi juga adalah digunakan untuk menampung cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Bagi tadika swasta, kos bulanan memang tinggi kerana untuk menampung sewa, gaji guru dan makan anak-anak.

“GST dan inflasi turut menambah berat keadaan ini. Yuran bulanan biasanya cukup-cukup untuk kos operasi bulanan,” jelasnya.

Katanya lagi, jika ingin membuat penambahbaikan pada kemudahan dan alat bantu mengajar, pengusaha perlu menambah modal, atau bergantung pada yuran pendaftaran.

“Selain itu, yuran tahunan juga kami gunakan untuk membantu menghantar guru ke kursus-kursus yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya.

 

Sumber :
– www.sinarharian.com.my/


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !
Tags:

Related Posts

Add Comment