‘Abang bercakap tak pandang saya’

Kongsikan Artikel Ini !

Loading...

“ABANG seorang yang mesra dengan adik-beradik selain sangat baik dengan emak dan ayah.

“Tapi, sejak berjumpa dengan dia dua hari lepas, apabila bercakap dia tidak mahu pandang pada saya dan buat acuh tak acuh saja,” kata Mohd Saiful Izam Suhaidin, 32.

Mohd Saiful Izam adalah adik kepada Mohd Nizam Suhaidin, 34, mangsa kemalangan maut bersama isteri Noor Hafizah Ismail, 34, serta anak lelaki pasangan itu, Muhammad Afiq Mohd Nizam, 6, di Kilometer 59, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat Gerik, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, seorang lagi yang maut ialah pemandu lori balak, Redzuan Abd Ghani, 59, manakala anak bongsu Mohd Nizam, Nur Hanania Maisara Mohd Nizam, 2, parah dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, (HRPB), Ipoh.

Mohd Saiful Izam berkata, sifat abangnya yang juga anak kedua daripada enam beradik itu agak ganjil kerana sebelum ini dia mudah mesra dan rapat dengan semua ahli keluarga.

“Ketika kejadian, arwah sekeluarga dalam perjalanan balik dari rumah keluarga sepupu di Kampung Bukit Bertam, Selama, kerana menghadiri kenduri perkahwinan dua pupu kami di sana,” katanya ketika ditemui Unit Forensik di Hospital Gerik, tengah malam tadi.

Mohd Saiful Izam yang bekerja di Kuala Berang, Terengganu, bertemu abangnya di rumah keluarga sepupunya itu manakala ibu mereka, Siti Hajar Ghazali, 54, menetap di Selama dan bapa mereka bekerja di Kuala Lumpur.

“€Selepas majlis kenduri, abang sekeluarga bertolak lebih awal daripada saya untuk balik ke Machang, Kelantan, pada 8.30 pagi semalam dari rumah pengantin di Selama setelah dua malam tinggal di sana kerana mahu singgah di Kuala Kangsar terlebih dulu.

“Saya dan isteri, Suriani Arifin, 36, bertolak 11.30 pagi tetapi apabila melalui jalan JRTB berhampiran tempat kejadian, saya melihat hampir semua kenderaan dari arah bertentangan memberi isyarat lampu dan saya mengesyaki ada kemalangan.

“Alangkah terkejutnya bila tiba di tempat kejadian, saya dapati kereta Proton Saga abang terbabit dalam kemalangan itu dengan remuk teruk di bahagian depan, tetapi semua mangsa sudah tiada di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, abangnya bekerja sebagai penghantar barang dengan syarikat di Machang, tetapi sering berulang-alik ke Selama kerana ibu mereka menetap di kampung asalnya di Selama.

“€Saya tidak menyangka perubahan sikap abang selama kami bertemu dua hari di tempat kenduri itu sebagai tanda dia akan pergi untuk selamanya bersama isteri dan anaknya dalam tragedi itu.

“Bagaimanapun, saya sekeluarga menganggap ini sebagai suratan takdir Allah dan mendoakan kebaikan kerana abang dan kakak ipar yang sangat baik,” katanya.

Bagaimanapun, ibu mangsa, Siti Hajar, yang turut hadir di Hospital Gerik enggan bercakap dengan media kerana amat bersedih dengan kehilangan anak, menantu dan cucunya itu.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Abdul Ghani Che Lah, 55, berkata mangsa sangat rajin menolong keluarganya menguruskan majlis kenduri perkahwinan anaknya, kelmarin.

“Mohd Nizam seorang yang rajin, mudah mesra dan sering menziarahi kami di Selama, jadi saya anggap dia sebagai saudara paling rapat kami,” katanya.

Ketiga-tiga jenazah mangsa dibedah siasat pagi ini sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di Kampung Pangkal Meleret, Machang.


Loading...
Kongsikan Artikel Ini !

Related Posts

Add Comment